Ad Code

Contoh jawapan soalan percubaan Bahasa Melayu kertas 2 Melaka, 2011 - Bahagian C


Soalan 1.

Sekolah anda telah menjayakan Program Minggu Bahasa Melayu anjuran Panitia dan Persatuan Bahasa Melayu. Pelbagai aktiviti telah dianjurkan.
Tulis sepucuk surat kepada rakan anda untuk menceritakan Program Minggu Bahasa Melayu tersebut.



Contoh jawapan.


163B, Jalan Kesidang 2/13,
                                                                      Taman Kesidang,
                                                                      75200 Melaka.


                                                                       20 September 2011.

      Menemui sahabatku Ramli yang dirindui. Apa khabar saudara? Saya berharap saudara berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Saudara,
      Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk menceritakan Program minggu Bahasa Melayu yang telah diadakan di sekolah saya selama seminggu. Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang telah dijalankan. Disebabkan Minggu Bahasa Melayu hanya diadakan sekali dalam setahun, jadi saya juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan.

      Salah satu aktiviti yang diadakan ialah pertandingan melukis poster berdasarkan watak dalam novel Kanang: Cerita Seorang Pahlawan iaitu novel yang sedang kita pelajari dalam tingkatan tiga. Walau bagaimanapun nasib tidak menyebelahi saya kerana saya hanya mendapat tempat kedua. Tempat pertama dimenangi oleh kawan saya sendiri iaitu Farid. Sememangnya, tidak dapat disangkal lagi bakatnya dalam bidang lukisan.

      Saya juga tidak ketinggalan untuk menyertai aktiviti Jejak Maklumat. Aktiviti ini lebih kurang sama sahaja dengan "treasure hunt" yang pernah kita sertai bersama semasa berada di Sekolah Rendah Kebangsaan Bachang dahulu. Apa yang membezakannya ialah "treasure hunt" memerlukan kita mencari barang yang tersembunyi sedangkan aktiviti Jejak Maklumat pula memerlukan kita mencari perkataan-perkataan yang telah disembunyikan di dalam kawasan sekolah. Perkatan-perkataan ini pula perlu dicantumkan untuk membentuk satu peribahasa melayu yang tepat.

      Pada setiap pagi sepanjang Minggu Bahasa Melayu, ketika di tapak perhimpunan, guru-guru akan mengadakan kuiz ringkas Bahasa Melayu untuk para pelajar. Guru yang bertugas akan mengutarakan soalan-soalan yang mudah dan ringkas kepada pelajar. Walaupun hadiahnya kecil, namun aktiviti inilah yang mendapat sambutan paling hangat. Hal ini menunjukkan bahawa para pelajar mempunyai semangat cintakan Bahasa Melayu yang mendalam.

      Saya rasa sampai di sini sahaja coretan yang dapat saya nukilkan untuk tatapan saudara buat masa ini. Saya harap saudara juga dapat menceritakan aktiviti-aktiviti menarik yang berlaku di sekolah saudara. Saya juga berharap saudara akan berjaya memperoleh keputusan paling cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah nanti. Akhir kata, sampaikan salam rindu saya buat keluarga saudara terutamanya kepada Mak Cik Nora dan Pak Cik Abdullah.

      Sekian, terima kasih.


                                                                             
                                                                      Yang benar,

.................................





Soalan 2. Sila klik di sini.

Soalan 3. Sila klik di sini

Soalan 4. Sila klik di sini

Soalan 5. Sila klik di sini

Post a Comment

1 Comments

  1. Sambungkanlah!!! MASA ITU EMAS. PMR LAGI 12 HARI. CIKGU NAK SEMUA CEMERLANG KAN!!?!?!? TOLONGLA!!!!

    ReplyDelete