Ad Code

Contoh jawapan soalan percubaan Bahasa Melayu kertas 2 Melaka, 2011 - Bahagian C. Soalan 2.

Soalan 2.

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menentukan pilihan kerjaya anak-anak. Beri pendapat anda.

Contoh jawapan.

     Tidak dapat dinafikan naluri ibu bapa dan penjaga untuk melihat anak mereka mendapat pengajian dan kerjaya yang terbaik dalam kehidupan. Oleh sebab itu, ada sebilangannya yang menetapkan cita-cita untuk anak-anak mereka. Ada yang menginginkan anak mereka menjadi peguam, doktor, jurutera ataupun saintis ternama.Tanpa disedari ada kalanya cita-cita penjaga ini mampu meletakkan anak dalam situasi yang  kurang menyenangkan.

      Antara peranan yang dapat dilakukan oleh ibu bapa ialah mengutamakan minat anak-anak. Ibu bapa harus menggalakkan anak-anak meneroka minatnya dengan berani agar mereka lebih jelas tentang pilihan kerjaya mereka. Tetapi sikap ibu bapa kini yang terlalu meterialistik, lebih mementingkan gaji lumayan sebagai syarat utama untuk memilih kerjaya.

      Dorongan yang kuat dari ibu bapa merupakan pencetus semangat atau motivasi untuk anak-anak berjaya dalam kerjaya yang diceburi. Dapatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan kerjaya yang diminati dan berbincang dengan mereka. Kalau mereka berminat di bidang kedoktoran maka  bimbing mereka secara berperingkat-peringkat sejak usia awal persekolahan.

      Sekiranya anak-anak telah menetapkan hala tuju mereka, bantulah mereka dengan menghantar mereka ke pusat-pusat pengajian yang terbaik. Janganlah kedekut untuk mengeluarkan belanja persekolahan mereka. Jangan bersikap lepas tangan, membiarkan anak-anak mengejar impian tanpa bantuan.

      Walau apa pun pilihan mereka, ibu bapa janganlah memperkecilkannya. Kerjaya yang dilakukan dengan minat yang mendalam biasanya menghasilkan kejayaan yang cemerlang. Ibu bapa mestilah membuang sikap ego atau mementingkan diri sendiri. Jangan berasa malu dengan pilihan kerjaya anak-anak. Tindakan menentukan secara veto kerjaya anak sewajarnya dielakkan.

     Natijahnya, peranan ibu bapa memang amat vital dalam menentukan kerjaya anak-anak. Bimbingan dan dorongan bukan untuk menentukan supaya mereka ikut pilihan kita tapi supaya betul-betul faham dengan pilihan yang mereka buat. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Sekiranya ibu bapa yang kurang pengetahuan akan hal ini maka mereka hendaklah membawa anak-anak berjumpa kaunselor d sekolah supaya kerjaya yang mereka pilih benar-benar sesuai dengan jiwa mereka.

(265 patah perkataan)


Soalan 1. Sila klik di sini

Soalan 3. Sila klik di sini

Soalan 4. Sila klik di sini

Soalan 5. Sila klik di sini

Post a Comment

0 Comments