Friday, December 13, 2013

Filled Under: , , ,

Contoh Karangan - Langkah memajukan sukan negara.

Karangan 1.

      Acap kali negara kita menganjurkan sukan berprestij di dunia seperti Formula One, LeTour De Langkawi, Sukan Komenwell dan sebagainya. Pecapaian Malaysia sebagai penganjur tidak dapat dinafikan kehebatannya. Walaupun begitu, pencapaian Malaysia sebagai peserta amatlah mengecewakan. Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha haruslah dilakukan untuk memajukan sukan negara.

     Punca utama para atlet tidak bergiat lama dalam bidang ini kerana tiada jaminan masa depan kepada mereka. Oleh itu, suatu usaha harus dilakukan untuk menjamin masa depan mereka. Terutama peluang pekerjaan jika berlaku kecederaan kepada mereka. Selain itu, elaun dan pencen harus diberikan kepada mereka yang bergiat aktif dalam mewakili Malaysia, tidak kira sama ada atlet tersebut menang ataupun kalah. Di samping itu, suatu organisasi harus ditubuhkan untuk menjaga kebajikan atlet Malaysia.

     Bak kata pepatah, meluntur buluh biar dari rebungnya. Oleh itu, untuk membentuk atlet, pendedahan haruslah dimulakan dari peringkat kanak-kanak. Sekolah sukan haruslah dibina di setiap daerah atau disetiap negeri. Sekolah sukan berkaitan pula dibina dari peringkat sekolah rendah. Di sekolah tersebut, kelengkapan sukan haruslah lengkap. Segala ilmu seperti teknik pernafasan yang betul diajar selain teknik menguasai permainan sukan yang dipilih. Subjek sukan dimasukkan dalam silibus dan diuji, sama seperti ujian bagi mata pelajaran lain.Oleh itu, pelajar tersebut akan memandang serius dalam subjek tersebut.

     Di peringkat sekolah pula, Bulan kesukanan perlulah diadakan. Pelbagai aktiviti kesukanan haruslah diadakan dan hadiah yang menarik pula perlulah ditawarkan sebagai ganjaran. Selain itu, perlawanan persahabatan dalam sukan serta perlawanan peringkat sekolah haruslah ditingkatkan untuk mencungkil bakat terpendam para pelajar yang seharusnya menjadi pelapis atlet yang sedia ada. Sementelahan, kemudahan untuk sukan dan peruntukan untuk membeli peralatan sukan haruslah disediakan selain galakan daripada pihak guru dan ibu bapa.

     Konklusinya, semua pihak haruslah bekerjasama untuk memajukan lagi sukan di negara kita. Pihak Kerajaan haruslah giat menjalankan kajian untuk memantapkan lagi sukan negara. Semua pihak termasuklah ibu bapa seharusnya memberi bimbingan dan galakan kepada anak-anak yang berkecenderungan terhadap bidang sukan. Majulah sukan untuk negara.

Sumber: Karangan-Bahasa-Melayu


Karangan 2.

     Sukan di negara ini mengalami zaman kemelesetan yang begitu ketara kerana tiada lagi kejayaan yang diraih seperti awa tahun 50-an, 60-an atau 80-an. Keadaan ini telah menimbulkan rungutan pelbagai pihak terutama peminat sukan di negara ini. Media massa pula asyik mengeluarkan pelbagai teori dan langkah untuk menangani masalah sukan di negara ini tanpa hasil jua. Jelaslah, ada pelbagai tindakan drastik yang boleh dilakukan oleh semua pihak.

      Sudah pasti perubahan minda masyarakat harus berlaku terutama persepsi mereka terhadap sukan. Anggapan bahawa sukan tidak memberi apa-apa kesan atau tiada prospek ekonomi harus dikikis dengan segera. Sukan sama juga seperti kerjaya lain jika dilakukan dengan betul, sistematik dan tabah berupaya menyumbangkan sumber kewangan yang lumayan kepada penggamalnya. Oleh itu, perubahan paradigma masyarakat hendaklah berubah selaras dengan perubahan zaman yang mengutamakan sukan di peringkat global.

      Selain itu, kerajaan harus memberikan ganjaran yang setimpal kepada ahli sukan yang berjaya di dalam kejohanan peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Sumbangan dalam bentuk kewangan atau pemberian latihan berupaya menyuntik semangat baru kepada ahli sukan untuk berusaha mencapai kejayaan yang lebih baik lagi. Pemberian insentif ini juga memberi satu harapan kepada golongan muda terutama kanak-kanak untuk mempunyai impian menjadi ahli sukan dan menerima ganjaran itu. Jadi, ganjaran kepada ahli sukan perlulah wujud dan usahlah kita menganggap pemberian ganjaran ini tidak penting dalam pembangunan sukan negara.

      Jika kita mahu memiliki kelompok ahli sukan yang ramai dan baik, sudah pasti pembinaan kemudahan sukan ditingkatkan. Pembinaan stadium, gelanggang dan padang menjadikan acara sukan lebih mudah dan murah untuk disertai oleh masyarakat di negara ini. Keadaan ini menyebabkan kemahiran asas dalam sesuatu asas sukan itu sudah dimiliki oleh masyarakat di negara ini dan hanya perlu digilap sahaja oleh jurulatih negara apabila tiba masanya. Sesungguhnya, pembinaan kemudahan sukan menjamin negara memiliki satu kelompok ahli sukan yang berwibawa.

      Tambahan pula, negara boleh menganjurkan kejohanan sukan bertaraf dunia di negara ini. Penganjuran sukan sebegini memberi peluang kepada ahli sukan negara untuk bersaing dengan ahli-ahli sukan dunia yang sememangnya lebih baik. Persaingan yang hebat ini menjadikan ahli sukan kita lebih fokus dan menyedari kelemahan serta mampu meningkatkan kualiti diri mereka sejajar dengan pengalaman yang diperoleh. Maka, lebih banyak penganjuran acara sukan dunia di negara ini, semakin bertambahlah mutu ahli sukan kita.

      Bagaimana dengan juruatih? Sudah pasti pengambilan jurulatih berpengalaman terutama dari negara luar berupaya menyuntik teknik baru kepada latihan ahli sukan kita. Jurulatih asing yang berpengalaman ini mampu melihat kelemahan dan mengatasi kelemahan ahli sukan kita dengan pantas kerana mereka berpengalaman. Dalam masa yang sama jurulatih asing ini boleh membuat program untuk melatih jurulatih tempatan atau berkongsi pengalaman dengan mereka untuk merangka satu sistem latihan yang baik. Jadi, jurulatih asing boleh membawa perubahan drastik terhadap mutu sukan kita.

      Konklusinya, mutu sukan di negara ini boleh berubah. Cuma kegagalan persatuan-persatuan sukan untuk melihat secara positif dan masalah konflik dalaman persatuan yang menyebabkan mutu sukan kita terus menjunam. Masyarakat sudah muak dengan alasan demi alasan yang diberikan setiap kali ahli sukan kita mengalami kekalahan. Sikap 'menuding jari' membuktikan betapa kita banyak menyalahkan orang lain tanpa mahu berubah.

Sumber: norazmanmahat.blogspot.com


Karangan 3.

Sebagai wartawan sebuah majalahsukan, anda ditugaskan untuk menulis rencana yang bertajuk“Langkah-langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara”.

Tulis rencana itu selengkapnya.

Langkah-langkah MeningkatkanMutu Sukan Negara
Oleh: Mohd Shahir Mohd Shah

     Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam semua perlawanan pada Kejohanan Piala Asia (AFC) serta tumbangnya jagoan badminton negara dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Itu belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran “jaguh kampung?” Ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa pun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat “duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.

     Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan-persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara “sebulat suara” ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah “dianak tirikan” oleh mereka. Kedangkalan ilmu tentang bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, bak kata pepatah, “hanya jauhari yang mengenal manikam”.

     Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing dan mampu mengibarkan cabaran negara pada peringkat antarabangsa. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup banyak untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya. Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman pernah menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terus gagal membentuk sebuah pasukan kebangsaan yang mampu memecah penguasaan China dan Indonesia dalam arena badminton. Biarpun munculnya “gandingan emas”, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, namun kegagalan pasukan negara dalam Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu menterjemahkan segala-galanya. Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan pengemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinya “sinar di hujung terowong” dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.

     Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri di dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian ratu squasy negara, Nicole Ann David sehingga membolehkan beliau berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang tidak putus-putus dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, “seperti melepaskan batuk di tangga”. Sebaliknya ia menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan para atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.

     Sesungguhnya kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus berlanjutan kerana ia sedikit sebanyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh tahun, seharusnya ia telah mematangkan pencapaian kita dalam bidang sukan. Mungkin tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak PialaDunia 2014 akan menjadi kenyataan. Bak kata pepatah “pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di tangan”, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat Malaysia. “Majulah sukan untuk negara!”


Sumber: MindaSastera Negara

19 comments:

  1. buang spongebob tepi tu boleh x? susah nak baca karangan.

    ReplyDelete
  2. belakang kaler hitam susah nak baca :(

    ReplyDelete
  3. Spongebob tu buang la..Tak senang nak baca...

    ReplyDelete
  4. Bagus2 karangan ni..boleh ambil contoh buatt rujukan..

    ReplyDelete
  5. terima kasih atas contoh karangan yg diberikan..~~
    sangat berguna...~~~

    ReplyDelete
  6. this is a very good karangan 2 refer with...:)

    ReplyDelete
  7. aduss.. spangebob neyh sebo0kk beto0ii.. btw krgan neyh bago0s..

    ReplyDelete
  8. bagus gila! esk exam bm lol

    ReplyDelete
  9. bagus gila! esk exam bm lol

    ReplyDelete
  10. tq.......mmg berguna karangan niiiiiiiiiii

    ReplyDelete
  11. tq... saya kongsi dengan anak murid saya ya..
    mohon halalkan segalanya..

    ReplyDelete
  12. Sebuah karangan yang sangat berguna ! Trima kasih :D

    ReplyDelete
  13. mmg bagus.. tapi ..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...