Ad Code

Tanggungjawab Ibu Bapa Membentuk Peribadi , Akidah Anak

Anak merupakan aset yang paling bernilai kepada kedua-dua ibu dan bapa. Oleh itu, setiap pasangan yang telah berkahwin mempunyai keinginan untuk mendapatkan cahaya mata sebagai penyeri dan pelengkap kebahagiaan dalam sesebuah rumah tangga yang dibina.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia…” (al-Kahfi :46)

Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup mereka . Bukan sahaja hidup di dunia bahkan di akhirat juga. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah meninggal dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”.
(HR al-Bukhari)


Anak-anak hendaklah diberi pendidikan yang sempurna seawal mungkin bermula dari dalam kandungan lagi. Tanggungjawab ibu dan bapa telah wujud sebelum terbentuknya janin. Oleh itu suami isteri hendaklah memberi perhatian dan tumpuan pendidikan sempurna sepenuhnya untuk memastikan anak tersebut menjadi anak yang soleh. Suami isteri mesti bertanggungjawab untuk menjaga kandungan dari segi kesihatan fizikal dan mental, mengamalkan pemakanan seimbang, makan minum dan rezeki dari sumber yang halal dan berkat, mengerjakan amalan-amalan kerohanian seperti membanyakkan membaca al-Quran, zikir, melakukan ibadah-ibadah sunat disamping tidak meninggalkan ibadah fardhu yang diwajibkan.

Ketika isteri mengandungkan bayi, si bapa pula mempunyai peranannya yang tersendiri. Bekerjalah dengan penuh amanah, bertanggungjawab dan ikhlas demi mendapatkan rezeki yang halal untuk keluarga mereka. Sesungguhnya keberkatan lahir dari makan minum yang berpunca dari rezeki yang halal.

Oleh itu para ibu bapa hendaklah sentiasa berhati-hati dan berwaspada setiap masa dalam pekerjaan. Tunaikan kerja dengan penuh dedikasi dan amanah demi memperoleh rezeki yang berkat dari sumber yang halal. Rezeki yang diberi makan kepada anak itulah yang akan menjadi darah daging yang akan membesarkan anak-anak . Jika sumbernya halal dan berkat, mudah-mudahan anak-anak yang bakal dilahirkan akan menjadi anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup kedua-dua ibu bapa. Di samping itu apabila anak-anak telah diberi pendidikan sempurna mengikut syariat Islam, apabila besar mudah-mudahan mereka akan menjadi anak yang soleh.

Ibu bapa hendaklah sentiasa menyuruh anak-anak mereka bersifat dengan sifat yang mulia dan murni iaitu sifat-sifat mahmudah. Mereka juga mesti melarang anak-anak dari melakukan perkara-perkara keji dan tidak elok iaitu sifat-sifat mazmumah. Oleh yang yang demikian, ibu bapa mestilah terlebih dahulu memiliki sifat-sifat mahmudah dan kemudian hendaklah diterapkan kepada anak-anak mereka.

Setelah remaja, ajaran-ajaran agama Islam yang berkaitan dalam bidang syariah, aqidah dan akhlak perlu diajar secara terperinci kepada anak-anak di peringkat umur begini supaya mereka mengetahui, memahami dan dapat menghayatinya. Seterusnya perkara-perkara baik dan betul tersebut dapat diimplementasikan dalam kehidupan mereka sehari-hari. Dengan demikian mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyelewen, amal ibadat dan akhlak mereka akan terpandu dengan betul.

Oleh itu ibu bapa amat perlu memberi didikan syariat yang sempurna kepada anak-anak mereka seawal mungkin bermula dari dalam kandungan ibu lagi seperti kata pepatah “Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya’ agar anak-anak dapat hidup bahagia, berjaya dan membesar dalam keadaan sempurna tanpa terpengaruh dengan gejala-gejala negatif yang boleh merosakkan hidup mereka

Post a Comment

0 Comments