Kenakalan remaja ialah perbuatan yang melanggar dan menyalahi etika serta budaya hidup sesuatu masyarakat. Kebanyakkan remaja biasanya sering melakukan sesuatu yang dilarang oleh ibu bapa dan masyarakat seperti mengganggu ketenteraman awam. Selain itu, remaja-remaja sekarang mudah terbabit dengan kegiatan gejala sosial yang membawa kepada masalah disiplin. Antara kegiatan yang sering dilakukan remaja ialah melepak, membuang masa, menghabiskan masa terluang di kafe siber, terbabit dengan gejala mat rempit, ponteng sekolah dan terbabit dengan penyalahgunaan dadah. Gejala sosial seperti ini dapat dibendung sekiranya ibu bapa memainkan peranan mereka terhadap anak-anak.
Antara peranan-peranan yang perlu dilaksanakan oleh ibu bapa bagi membentuk anak-anak mereka ke arah yang baik ialah ibu bapa hendaklah memberi didikan yang secukupnya kepada anak-anak. Ibu bapa mestilah mendidik anak mereka sejak kecil lagi dengan akidah, akhlak dan keagamaan bagi memperkukuhkan jati diri remaja pada masa akan datang. Selain itu, ibu bapa juga bertanggungjawab member anak-anak mereka pendidikan yang terancang sejak kecil dan pendidikan di sekolah. Pendidikan bagi anak-anak amat penting supaya mereka mengetahui hala tuju dan masa depan mereka. Ibu bapa juga hendaklah mendidik dan mendisiplinkan anak-anak agar menjadi orang yang berguna pada masa hadapan. Ibu bapa juga sepatutnya menekankan kepada anak-anak bahawa mereka salah seorang yang akan menjadi pemimpin masyarakat dan negara suatu hari nanti. Jika seseorang pemimpin tidak bermoral dan berakhlak, maka rosaklah negara pada masa akan datang.
Selain itu, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan berhubungan baik dengan masyarakat agar sama-sama memantau pergerakan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa hendaklah memastikan jiran-jiran mengenali anak-anak mereka dan mengambil berat tentang pergerakan anank-anak pada setiap masa. Ibu bapa dan masyarakat hendaklah sama-sama berganding bahu bagi membendung gejala sosial yang kian merebak. Sebagai contoh, sebagai masyarakat yang cakna, kita sepatutnya menegur remaja-remaja yang melakukan perkara yang tidak sepatutnya, bukan mengutuk ibu bapa mereka dan remaja tersebut. Kempen kesedaran juga amat penting kepada anak-anak remaja bagi membentuk peribadi mereka ke arah yang lebih baik. Dengan cara ini, mereka akan lebih mengetahui dan dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk. Kita juga dapat melahirkan remaja yang berfikiran positif dan bebas daripada perkara-perkara yang tidak sepatutnya.
Peranan terakhir yang sepatutnya dilakukan oleh ibu bapa ialah menitikberatkan tentang aktiviti harian anak-anak mereka pada setiap masa. Ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang terhadap anak-anak terutamanya ketika mereka di usia remaja. Selain itu juga, ibu bapa mestilah mengawasi pergerakan anak-anak terutamanya dimana mereka berada dan dengan siapa mereka berkawan. Ini kerana, seperti yang kita ketahui, remaja sekarang mudah terpengaruh dengan kenakalan dan isu sosial yang di sebabkan oleh faktor persekitaran, rakan-rakan dan sebagainya. Faktor ini amat penting bagi ibu bapa untuk memantau anak-anak mereka. Jika faktor ini diabaikan, besar kemungkinan mereka mudah terpengaruh dan terjebak dengan masalah sosial. Dan yang terakhir ialah, ibu bapa hendaklah menerapkan nilai-nilai murni dalam diri setiap anak-anak bagi membentuk peribadi yang mulia.
Sebagai kesimpulannya, membentuk anak tidak semudah membina bangunan. Kehidupan anak memerlukan pemantauan, bimbingan dan didikan yang betul mengikut landasan keagamaan. Ada anak yang boleh didisiplinkan dengan cara lembut, perlahan dan dengan penuh kasih sayang. Tidak kurang juga anak sekarang memerlukan kaedah disiplin yang tegas dan keras. Oleh itu, setiap individu perlulah mengambil berat terhadap masyarakat dan keluarga mereka daripada ke kancah gejala sosial yang semakin kritikal di negara kita kini. Dengan ini, kita juga dapat melahirkan masyarakat yang berakhlak tinggi sekaligus menjadikan Malaysia sebuah negara yang bertamadun.
1 Comments
Assalamualaikum...mohon izin kongsi karangan ini dengan murid - murid..terima kasih
ReplyDelete