Ad Code

CONTOH MENJAWAB SOALAN - Bahagian C - Media massa sering memaparkan berita tentang kegiatan vandalisme yang berlaku di negara ini. Cadangkan langkah-langkah untuk mengatasi masalah ini.


Contoh jawapan soalan 4.
 
      Gejala-gejala sosial yang semakin menjadi-jadi sekarang ini sering menghiasi dada-dada akhbar tempatan. Antara gejala yang sering diperkatakan oleh media massa ialah vandalisme. Kegiatan vandalisme kalau tidak dibendung akan mengakibatkan negara kerugian berjuta ringgit setiap tahun. langkah-langkah yang pragmatik perlu dititik-beratkan agar kegiatan vandalisme ini dapat dibendung segera. 

      Apabila membangkitkan masalah ini, kita perlu mencari punca hingga ke akar umbi. Kebanyakan yang terlibat dengan kegiatan vandalisme ialah dikalangan remaja. Menurut kajian, antara punca utama mereka terlibat dengan kegiatan tidak bermoral ini adalah kerana mereka ingin meluahkan rasa terbuku dihati atau tekanan perasaan. Perbuatan tidak bertanggungjawab ini diibarat bagai kera diberi bunga.

      Selain itu, pengaruh rakan sebaya tidak boleh dipandang remeh dalam menyebarkan budaya negatif ini. Kebanyakan masa terluang remaja dihabiskan bersama rakan sebaya. Pengaruh rakan akan menentukan sahsiah diri remaja tersebut. Keadaan ini bolehlah dijelaskan melalui pepatah berikut, "jika seseorang itu berkawan dengan penjual minyak wangi, maka keharumannya akan dirasainya. Jika dia berkawan dengan tukang besi, maka percikan akan akan mengenai dirinya juga".

      Kita perlulah memperhalusi punca masalah yang dibangkitkan untuk mengatasi masalah vandalisme. Ibu bapa di rumah, guru-guru di sekolah, ketua-ketua masyarakat, kerajaan dan media massa perlu memainkan peranan lebih besar dalam membendung gejala ini menjadi lebih berleluasa. Ibu bapa perlu lebih prihatin dan mengambil berat tentang anak-anak mereka. Ibu bapa perlu mengawasi pergaulan anak-anak mereka dan perlu menegur dan membetulkan anak-anak mereka sekiranya mereka terlibat dengan vandalisme. Didiklah anak-anak sedari kecil lagi untuk menyayangi harta awam. Harta awam adalah harta kita bersama, sekiranya kita merosakkan harta awam bermakna kita merosakkan harta kita juga.

      Di samping itu, peranan sekolah tidak boleh dinafikan dalam membentuk remaja yang berakhlak tinggi. Warga Malaysia telah dididik untuk menjadi insan yang mempunyai jati diri, berilmu dan beramal. Guru-guru sentiasa berusaha menerapkan nilai-nilai murni dalam pengajaran di kelas. Banyak aktiviti-aktiviti yang dilakukan untuk mengajar warga pelajar supaya tidak terlibat dalam gejala vandalisme. Aktiviti-aktiviti sebegini perlu dilakukan dengan lebih kerap sehingga para pelajar terdidik untuk menjauhi vandalisme.

    Gejala vandalisme bukan sahaja merugikan kerajaan tetapi juga menimbulkan kesukaran kepada masyarakat. Kita perlu menghargai kemudahan yang disediakan supaya boleh digunakan diwaktu kecemasan. Masyarakat yang tinggi akalnya dan berilmu akan membenci vandalisme. Sekiranya gejala vandalisme masih berleluasa di kalangan masyarakat bermakna masyarakat kita masih rendah akhlaknya. Oleh itu semua pihak perlu berganding bahu menggembleng tenaga mengatasi masalah ini demi kesejahteraan rakyat. 

Post a Comment

0 Comments