Ad Code

Novel Interlok ditarik sebagai teks komponen sastera

Kerajaan memutuskan untuk tidak lagi menggunakan novel Interlok yang menjadi buku teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pelajar tingkatan lima mulai tahun depan. 

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, berkata perkara itu telah diputuskan kerajaan pada mesyuarat kabinet baru-baru ini dan berharap akan diumumkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam tempoh terdekat.

Beliu berharap penarikan balik novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu dapat diterima oleh semua pihak dan sekaligus menamatkan kontroversi  yang ditimbulkan sebelum ini.

"Menteri Pelajaran telah bersetuju tidak akan menggunakan buku ini mulai tahun hadapan dan saya minta pengumuman rasmi mengenainya dapat dibuat dalam tempoh terdekat agar tiada lagi pertikaian dibangkitkan oleh mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas mengenai novel berkenaan selepas merasmikan perlawanan bola sepak Piala Datuk Seri S. Samy Vellu anjuran Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Novel itu sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana mengandungi beberapa perkataan yang dianggap menghina masyarakat India namun telah ditarik balik dan perkataan berkenaan telah dipinda hasil cadangan sebuah badan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan.

Sumber berita - BERNAMA




Post a Comment

0 Comments