Tulis sebuah rencana yang bertajuk, "Usaha-usaha untuk meningkatkan mutu sukan di negara kita."
Kekalahan
skuad bola sepak kebangsaan dalam semua perlawanan pada Kejohanan Piala
Asia (AFC) serta tumbangnya jagoan badminton negara dalam Kejohanan
Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan
Malaysia semakin merudum. Itu belum lagi mengambil kira prestasi
sukan-sukan teras lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya.
Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada
pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai
tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Walau apa pun
pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu
diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat “duduk
sama rendah dan berdiri sama tinggi” dengan negara-negara lain dalam
bidang sukan.
Dalam
hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan
merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan.
Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan-persatuan sukan di Malaysia
dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang
dipilih secara “sebulat suara” ini, sering menjadikan persatuan
berkenaan sebagai medan
untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka.
Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan
sukan dan atlet telah “dianak tirikan” oleh mereka. Kedangkalan ilmu
tentang bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku,
mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak
dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai
latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu
sukan negara, bak kata pepatah, “hanya jauhari yang mengenal manikam”.
Di
samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki
dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing
dan mampu mengibarkan cabaran negara pada peringkat antarabangsa.
Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan
peruntukan yang cukup banyak untuk menyokong program-program pembangunan
sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan
Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi
aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan,
psikologi, dan sebagainya. Menurutnya
kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih menggemari roti canai,
nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan program-program
berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus
ketandusan para atlet yang berpotensi. Biarpun munculnya “gandingan emas”, Koo Ken Kiat
dan Tan Boon Heong, namun kegagalan pasukan negara dalam Kejohanan
Badminton Dunia bulan lalu menterjemahkan segala-galanya. Namun begitu,
segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha.
Dengan pengemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinya “sinar di
hujung terowong” dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat
sukan negara kita.
Selain
itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan
antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat
penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri di
dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak
contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang mantap jika
digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap
pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang
berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan
dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu
menuai hasil yang diharapkan. Perlu ditegaskan
bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha
secara ala kadar, “seperti melepaskan batuk di tangga”. Sebaliknya ia
menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan
para atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.
Sesungguhnya
kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan terus
berlanjutan kerana ia sedikit sebanyak berkaitan dengan maruah kita pada
peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang
sudah menjangkau angka lima
puluh tahun, seharusnya ia telah mematangkan pencapaian kita dalam
bidang sukan. Mungkin tiada salahnya untuk kita belajar dengan
negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya
yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak
Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia.
Hanya dengan kerjasama erat semua pihak, misi untuk melihat kelibat
anak-anak muda Malaysia
beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi
kenyataan. Bak kata pepatah “pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah
ada di tangan”, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta
rakyat Malaysia. “Majulah sukan untuk Negara!"
Sumber: Minda Sastera Bahasa
Soalan 1. Sila klik di sini
Soalan 3. Sila klik di sini
Soalan 4. Sila klik di sini
Soalan 5. Sila klik di sini
Soalan 3. Sila klik di sini
Soalan 4. Sila klik di sini
Soalan 5. Sila klik di sini
0 Comments