Menjelang penubuhan Komuniti ASEAN hujung tahun ini, Bahasa
Melayu dilihat boleh memainkan peranan dalam membentuk solidariti masyarakat di
rantau ini.
Dengan jumlah penduduk lebih 600 juta orang serta perbezaan
ketara daripada sudut budaya, bahasa, agama, ekonomi dan politik di
negara-negara anggota ASEAN, usaha mencari satu identiti serantau adalah amat
mencabar.
Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais
Yatim berkata Bahasa Melayu mampu menyatupadukan masyarakat ASEAN.
Beliau berkata Komuniti ASEAN harus dilihat mempunyai sifat
kekitaan tersendiri yang akan menyerlahkan identiti kumpulan serantau itu dalam
kalangan masyarakat antarabangsa.
"Saya lihat Bahasa Melayu merupakan bahasa yang ditutur
300 juta manusia di ASEAN. Maka, lebih separuh penduduk ASEAN diwakili oleh
penutur Bahasa Melayu atau Bahasa Indonesia. Amat baik jika ia diasaskan
sebagai bahasa serantau dan ini akan menyatukan kita," katanya kepada
BERNAMA di sini.
Rais menjelaskan ASEAN harus muncul dengan bahasanya
sendiri, selain cuba menampilkan seni dan muzik yang melambangkan identiti
kumpulan serantau itu.
Menurutnya beberapa negara jiran mungkin tidak akan
bersetuju dengan cadangan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa serantau,
namun beliau yakin cadangan itu mampu dilaksanakan.
"Vietnam, Laos dan Thailand mungkin tidak bersetuju.
Tidak mengapa, asalkan dasar itu dapat dilihat dari sudut amali dan tidak hanya
dilihat dari segi teori. Kita kena lihat apa yang menyatukan kita sekarang,
tidak ada.
"Realitinya, Bahasa Melayu dan budaya serantau boleh
menyumbang kepada kekitaan dalam ASEAN. Aspek sosiobudaya juga boleh serlahkan
budaya serantau di ASEAN. Saya fikir harus dibawa dalam perbincangan,"
jelasnya.
Malaysia dipilih menjadi pengerusi ASEAN untuk penggal 2015
dan penubuhan Komuniti ASEAN yang dijadual hujung tahun ini merangkumi tiga
pelan pembangunan iaitu Komuniti Ekonomi ASEAN, Komuniti Keselamatan Politik
dan Komuniti Sosiobudaya.
Pada 2007, ASEAN bersetuju supaya penubuhan Komuniti ASEAN
dipercepatkan kepada 2015.
Antara lain, Komuniti ASEAN melibatkan integrasi serantau
yang lebih mendalam dan luas bagi membolehkan ASEAN bersaing dengan lebih
berkesan serta meningkatkan lagi taraf hidup dan mrwujudkan kemajuan sosial
lebih pesat untuk rakyat di negara-negara anggota pertubuhan itu.
Sementara itu, Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan
Tamadan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Teo Kok Seong
berkata Bahasa Melayu boleh digunakan sebagai alat membentuk kesepaduan.
Beliau berkata selain jumlah penutur yang ramai, Bahasa
Melayu juga digunakan di empat daripada 10 negara anggota ASEAN iaitu
Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura.
"Atas alasan itu, kita bolehlah cuba menyakinkan
negara-negara ASEAN lain bahawa Bahasa Melayu boleh diangkat sebagai bahasa
ASEAN untuk tujuan solidariti," katanya.
Malah, katanya langkah serupa pernah dilakukan Maharaja Shih
Huang Ti yang memperkenalkan sistem tulisan seragam bagi menyatupadukan
masyarakat di China yang menuturkan Bahasa Cina yang pelbagai.
"Seluruh dunia juga menggunakan Bahasa Inggeris untuk
kesepaduan...jadi, boleh sangat digunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa serantau
Asean. (Penyatuan melalui bahasa) sesuatu yang terbukti pada zaman lampau dan
zaman sekarang," katanya.
Bagaimanapun, beliau berharap usaha menyatukan masyarakat
melalui Bahasa Melayu dapat dilakukan sepenuhnya dalam kalangan rakyat Malaysia
terlebih dahulu, sebelum memberi tumpuan penuh kepada usaha di luar negara.
Menurut laman web ASEAN, Komuniti Sosiobudaya boleh
menyumbang kepada merealisasikan Komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat dan
mencapai perpaduan dalam kalangan rakyat dan negara anggota serantau itu.
Ia juga bertujuan membentuk satu identiti bersama dan
membina masyarakat penyayang dan saling berkongsi yang inklusif serta
meningkatkan kesejahteraan, kehidupan dan kebajikan rakyat di rantau ini.
Ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh Indonesia, Malaysia,
Filipina, Singapura dan Thailand, ASEAN kemudian dianggotai Brunei Darussalam,
Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam.
-- BERNAMA
1 Comments
Perenggan amat pendek
ReplyDelete