Kata Kerja Transitif
Kata kerja transitif ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuatnya kepada benda lain. Benda yang kena oleh perbuatan itu dipanggil penyambut ( objek ). Ayat yang menggunakan kata kerja transitif mesti mempunyai penyambut ( objek ). Kata kerja ini biasanya mempunyai imbuhan ‘me-‘ sama ada sebagai awalan atau sebahagian daripada imbuhan contohnya mengambil, mendermakan, membacakan, menduduki, mempersilakan.
Contoh Kesalahan.
Dia suka baca buku. (salah)
Dia suka membaca buku. (betul)
Ahmad tendang bola itu. (salah)
Ahmad menendang bola itu. (betul)
Analisis :
Kata kerja transitif yang berawalan me-,-ter-, atau ber- tidak boleh ditiadakan awalannya.
Kata Kerja Transitif Aktif
Kata kerja transitif aktif ialah kata kerja yang mesti disertai oleh objek, iaitu kata nama dan ayatnya berbentuk aktif. Kata kerja transitif aktif menggunakan imbuhan men, men ...i, men ...kan, memper, memper...i, dan memper...kan.
Contoh Kesalahan.
Dia menghadiahkan saya sebentuk cincin. (salah)
Dia menghadiahi saya sebentuk cincin. (betul)
Hakim menjatuhi hukuman mati kepada penjahat itu. (salah)
Hakim menjatuhkan hukuman mati kepada penjahat itu. (betul)
Hakim menjatuhi penjahat itu hukuman mati. (betul)
Analisis :
Akhiran -kan dan -i masing-masing digunakan untuk membentuk kata kerja transitif tetapi fungsi kedua-duanya berbeza sama sekali. Akhiran -i menyatakan makna bahawa objek yang dikenai perbuatan dengan kata kerja yang berakhiran -i itu tidak bergerak. Akhiran -kan pula menyatakan bahawa objek yang dikenai perbuatan dengan kata kerja yang berakhiran -kan itu bergerak dari tempatnya ke arah lain.
Kata Kerja Transitif Pasif
Kata kerja transitif pasif ialah kata kerja yang disertai oleh objek, dan ayatnya berbentuk pasif. Kata kerja transitif pasif menggunakan imbuhan di-.
Penyambut | Kata Kerja Transitif | Pembuat |
Radio itu | didengari | Atan |
Burung itu | ditangkap oleh | seekor kucing |
Sayur itu | dijual oleh | seorang perempuan |
Ikan itu | dijala oleh | Pak Abu |
Surat itu | sedang ditulis oleh | bapa |
Kata Kerja Tak Transitif
Kata kerja tak transitif ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuat itu sendiri kepada diri pembuat itu sendiri, tidak kepada benda atau orang lain. Kata kerja ini tidak memerlukan penyambut. Kata kerja tak transitif terbahagi kepada dua iaitu kata kerja tak transitif berpelengkap' dan kata kerja tak transitif tak berpelengkap.
Kata Kerja Tak Transitif Berpelengkap
Kata kerja ini memerlukan pelengkap. Pelengkap merupakan kata atau frasa yang melengkapkan ayat supaya tidak kelihatan tergantung dan bukannya satu objek (penyambut).
Pembuat | Kata Kerja Tak Transitif | Keterangan |
Kami | mandi | di tasik |
Dia | senyum | semasa berjalan |
Air sungai | beransur | surut |
Kata Kerja Tak Transitif Tak Berpelengkap
Kata kerja ini tidak memerlukan penyambut mahupun pelengkap. Selalunya berada di hujung ayat.
Pembuat | Kata Kerja Tak Transitif |
Rumahnya | roboh |
Radio itu | berbunyi |
Turunnya Union Jack itu, Jalur Gemilang pula | berkibar |
1 Comments
Manakah yang paling sesuai?
ReplyDeletea) Hakim menjatuhi hukuman mati kepada penjahat itu.
atau
b) Hakim menjatuhi penjahat itu hukuman mati.