Ad Code

Sejarah Penubuhan Institusi Parlimen di Malaysia

Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat sedemikian untuk membolehkan pelaksanaan sistem ini. Salah satu kriteria sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif (Pentadbiran).

Bangunan Parlimen Malaysia
Malaysia juga merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Demokrasi berasaskan kepada sistem Persekutuan. Berdasarkan kepada peruntukan ini Negeri-negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah telah bersetuju dengan konsep penubuhan Negara Malaysia.

Setiap negeri yang terbabit telah menyerahkan sebahagian kuasa masing-masing seperti kewangan, pertahanan, pelajaran, luar negara dan lain-lain lagi seperti mana yang telah tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia untuk di tadbir oleh Kerajaan Pusat. Terdapat beberapa perkara yang diletakkan di bawah kuasa negeri-negeri dan setiap negeri tersebut diberikan hak untuk mentadbir perkara-perkara tersebut.

Sebagai sebuah negara Raja Berperlembagaan, diperuntukan oleh Perlembagaan Institusi Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu di sembilan buah negeri dan Majlis Raja-raja yang mana Raja-raja Melayu telah diberi kuasa untuk memelihara keistimewaan dan adat istiadat orang Melayu dan pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Agama Islam bagi Negeri-negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Wilayah-wilayah Persekutuan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia. Baginda menjalankan tugas-tugas di bawah Perlembagaan bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Raja-raja pula menjadi Ketua Negeri dan menjalankan tugas bertindak mengikut nasihat Menteri Besar masing-masing.

Sumber: Portal Rasmi Parlimen Malaysia


Post a Comment

0 Comments