Ad Code

Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) memperkasa ekonomi


Model Ekonomi Baru (MEB) akan menjadi rangka kerja kita untuk mengorak perjalanan proses transformasi 10 tahun akan datang bagi menjadikan Malaysia sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.

Dalam masa beberapa tahun, kita akan memberikan tumpuan kepada kelebihan kompetitif yang dimiliki Malaysia, selain mewujudkan kelebihan yang baru.

Kita akan terus menggalakkan syarikat Malaysia untuk meneroka pasaran dan cabaran baru dalam menyahut seruan Perdana Menteri untuk menjadi juara di peringkat serantau dan global.

Saya berbangga melihat jumlah syarikat Malaysia yang berjaya mencipta nama di pasaran global dan saya lebih berbangga apabila sebilangan daripada perusahaan yang berjaya merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Syarikat-syarikat berkenaan berjaya mencapai kedudukan tersebut pada hari ini selepas lahir dari sektor awam. Semua ini adalah hasil daripada langkah penswastaan kerajaan lebih 20 tahun yang lalu. Kita dapat melihat beberapa GLC melalui proses transformasi, penstrukturan model bisnes, memperluaskan sumber keuntungan dan mengukuhkan jenama dalam pasaran.

Syarikat-syarikat yang memiliki kemahiran teknikal dan pengurusan berkenaan juga sudah melalui ujian iaitu tiga episod krisis ekonomi. Selain itu, syarikat erkenaan juga menghadapi cabaran keadaan pasaran yang semakin kompetitif seiring dengan masa.

Kesemua syarikat itu mewujbdkan nilai hebat kepada pemegang saham mereka.

Pencapaian itu diperoleh kerana kualiti bakat dan kemahiran yang ada pada syarikat GLC berkenaan.

Kesemua GLC tersebut turut membuat pelaburan yang besar dalam pembangunan modal insan mereka. Saya kagum melihat dalam masa lima tahun kebelakangan ini, GLC berkenaan menggunakan amalan dan standard pengurusan modal insan yang setanding dengan syarikat-syarikat terbaik di peringkat global.

Apa yang dimaksudkan adalah sistem penilaian prestasi melalui rangka Indeks Petunjuk Prestasi dan skim ganjaran yang kompetitif.

Salah satu daripada kelebihan kompetitif yang ada di Malaysia adalah kepelbagaian etniknya. Kelebihan itu menjadi satu sinergi yang sedia wujud dalam GLC berkenaan.

Selain itu, kepelbagaian kaum sudah terbukti memberi kekuatan kepada negara serta menjadi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi.

Kaum bumiputera terdiri daripada 61.4 peratus daripada penduduk Malaysia dan golongan ini mewakili 57 peratus daripada pengurusan kanan di GLC.

Beberapa GLC turut menggunakan kepakaran asing untuk mendapatkan ilmu dan membolehkan pengurus tempatan belajar.

Kelebihan paling utama Malaysia adalah kepelbagaian penduduknya dan kelebihan berkenaan dimanfaatkan oleh GLC. Kepelbagaian seperti inilah yang ingin kita lihat meningkat dalam ekonomi negara.

Kita perlu mengeksploitasikan sepenuhnya sinergi yang wujud dari kepelbagaian bakat dan kemahiran.

Ketika melawat beberapa pusat kewangan dunia iaitu London, Hong Kong dan New York, saya benar-benar kagum dengan kewujudan pelbagai bangsa yang terdapat dalam tenaga kerja di setiap destinasi bandar raya berkenaan.

Saya melihat golongan muda yang berbakat besar bekerja bersama, menghormati keupayaan intelektual masing-masing dan dinilai dengan satu penanda aras.

Mereka terdiri daripada orang kulit putih, Cina, India, Korea, Afrika, Amerika dan beberapa warga Malaysia.

Masing-masing begitu bangga dengan kualiti kerja yang disumbangkan dan selesa dengan kedudukan mereka dalam organisasi.
Amerika Syarikat (AS) masih belum menyelesaikan sepenuhnya isu perkauman yang dihadapi.

Bagaimanapun, apa yang mereka berjaya lakukan adalah menyedari bahawa sinergi ekonomi boleh diwujudkan melalui pergaulan tenaga pakar dan mahir dari pelbagai kaum utama dalam populasi AS.

Keadaan itu dapat dilihat secara jelas dalam industri muzik, filem dan sukan AS yang saya pasti semua orang tahu bernilai berjuta-juta bilion dolar AS.

Kita semua sedar bagaimana tarikan budaya boleh memainkan peranan penting dalam bisnes. Kebangkitan China, India, Indonesia dan kekayaan dari negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menjadi pendorong kepada Malaysia untuk meluaskan hubungan ekonomi dan perdagangannya.

Kaum Melayu, Cina dan India di Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam membina hubungan dengan kuasa-kuasa besar ekonomi. Tidak ada negara lain yang boleh membuat tawaran seperti yang Malaysia lakukan.
Dalam beberapa tahun akan datang, keperluan kita untuk melangkah ke hadapan dalam membangunkan modal insan adalah kritikal.

Oleh itu, kita perlu meluaskan ekonomi supaya menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi. Modal insan Malaysia perlu bersaing dengan bakat-bakat dan tenaga mahir yang lain di dunia.

Untuk memastikan Malaysia memenuhi penanda aras global, golongan muda negara perlulah meningkatkan tahap pemikiran, nilai dan pandangan mereka supaya selari dengan norma antarabangsa. Ini memerlukan anjakan bagaimana kita menyemai dan membangunkan kumpulan bakat dan kemahiran kita sendiri.

Sektor swasta boleh memainkan peranan penting untuk membangunkan bakat dan kemahiran yang kompeten di peringkat global. Latihan berasaskan merit yang direka khusus bagi objektif tertentu dan program-program pengurusan boleh distruktur untuk membangunkan pasukan elit yang tidak hanya memiliki kemahiran asas teknikal tetapi tarikan budaya dan kemahiran berunding di peringkat antarabangsa.

Ketua-ketua pegawai eksekutif (CEO) merupakan golongan yang paling sesuai dalam memimpin program-program sebegini yang bertujuan melahirkan bakat dan tenaga mahir terbaik yang boleh menguruskan pejabat-pejabat di luar negara satu masa nanti. Mereka ini juga akan menjadi sebahagian daripada pelan masa depan organisasi.

Perkara ini adalah wajar terutamanya apabila keuntungan dari operasi luar negara sesebuah organisasi mengatasi keuntungan yang dijana oleh operasi di peringkat domestik.

MEB akan membawa kita menjadi sebuah ekonomi dengan pendapatan per kapita dua kali ganda iaitu USD15,000 (RM49,500). Perkongsian pai ekonomi akan menjadi lebih adil dan sama rata.

Bagaimanapun untuk mencapai tahap itu, kita perlu sedar dan berusaha untuk membangunkan bakat-bakat tempatan bagi memenuhi keperluan masa akan datang. Ini hanya akan berlaku jika kita melipatgandakan usaha meningkatkan kepelbagaian kaum dalam aktiviti ekonomi dan memperkenalkan tahap kompetitif berbeza berdasarkan keadilan di tempat kerja.

Dengan populasi golongan muda iaitu berusia di bawah 14 tahun pada kadar 31.8 peratus dalam populasi negara dan mereka ini pula datang dari pelbagai budaya, latar belakang dan pengalaman, saya tidak fikir ada perkara lain yang lebih menarik dan boleh ada dalam mana-mana ekonomi, selain daripada golongan muda yang terdiri daripada pelbagai budaya dan mempunyai pelbagai bakat dalam memperkasakan pembangunan akan datang di negara kita yang tercinta.

Sumber: Utusan Malaysia, 30 Mac 2010

Post a Comment

0 Comments