Ad Code

Fungsi Bahasa Melayu dalam Sistem Pendidikan

Apabila Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini mewajibkan kesemua 65 ribu orang pelajar asing yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) di Malaysia agar mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu, kalangan pejuang bahasa menganggapnya sebagai langkah meletakkan semula kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pengajian tinggi di negara ini.

Dengan mewajibkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar asing di negara ini bolehlah mereka memahami budaya setempat dengan lebih baik dan sekali gus mengembangkan dan menambah bilangan penutur bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa lingua franca. Pada zaman kegemilangan zaman Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu dituturkan oleh semua pedagang dari Arab, China, India dan Eropah. Ketika itu, bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa perpaduan dan bahasa komunikasi antarabangsa.

Demi memupuk perpaduan kaum di negara ini, maka dalam Laporan Razak 1956 dinyatakan bahawa, tujuan akhir dasar pendidikan negara ini adalah untuk menyatukan murid yang berlainan bangsa di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Walau bagaimanapun, kemajuan ke arah ini hendaklah dilaksanakan dengan berperingkat-peringkat dan tidak boleh dipaksa secara mendadak. Berdasarkan Laporan Razak jelas bahawa dasar pendidikan yang dilaksanakan dapat membentuk perpaduan kaum di negara ini.

Malah dalam Laporan Rahman Talib 1960, kedudukan sekolah rendah ditukar kepada sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan. Tujuan utama penukaran kedudukan ini adalah untuk mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini di samping memantapkan lagi kedudukan bahasa Melayu secara berperingkat dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Sumber: Dewan Masyarakat

Post a Comment

0 Comments