Ad Code

Analisis Soalan PMR Bahasa Melayu Kertas 1

KERTAS 1 Soalan 1 – 7
Merupakan soalan – Penggunaan pelbagai jenis kata, imbuhan dan kata ganda dalam ayat.
1. Soalan jenis ini, sebenarnya merupakan bentuk soalan yang memang dikemukakan dalam Kertas 1 Bahasa Melayu PMR, pada setiap tahun.
2. Justeru, para pelajar boleh merujuk kertas soalan pada tahun-tahun yang lepas untuk membiasakan diri pelajar dengan bentuk soalan tersebut.
3. Para pelajar perlu mempunyai pengetahuan tatabahasa dan penguasaan kosa kata yang mantap. Bagi tujuan ini adalah mustahil untuk pelajar menghafal kesemua kosa kata yang terdapat dalam kamus.
4. Kaedah yang lebih efektif adalah dengan banyak membuat latihan dan merujuk kamus. Logiknya, semakin banyak anda membuat latihan, maka semakin banyak kosa kata yang anda kuasai.





Soalan 8 – 14
1. Merupakan soalan mengesan kesalahan umum tatabahasa sama ada dari segi:

a. Kesalahan dari segi penggunaan kata;

b. Kesalahan dari segi penggunaan frasa;

c. Kesalahan dari segi struktur ayat;

d. Kesalahan dari segi penggandaan;

e. Kesalahan dari segi pemajmukan; dan

f. Kesalahan dari segi pengimbuhan.
2. Untuk menjawab soalan jenis ini, sekali lagi, penguasaan tatabahasa adalah sangat penting.

Latihan menjawab soalan-soalan tahun lepas akan dapat membantu pelajar membiasakan diri dengan bentuk-bentuk kesalahan yang sering disoal dalam kertas soalan.

Contoh:
 

tepak-tapak, rasmi-resmi, tembok-tembuk, di dalam/dalam, demi untuk/untuk, pada/kepada, dari/daripada

Jadikan kamus dan buku rujukan tatabahasa sebagai bahan untuk mengukuhkan penguasaan tatabahasa anda.

Jadikan sikap suka menganalisis ayat sebagai satu amalan terutamanya semasa membaca akhbar atau majalah.


Soalan 15 – 17
Mengenal pasti maksud kata dan penggunaan kata yang betul dalam sesebuah ayat.

Jumlah soalan hanya 3 sahaja. Namun, soalan ini agak mengelirukan jika penguasaan kosa kata pelajar lemah.

Antara teknik yang boleh diguna pakai adalah dengan mengenal pasti terlebih dahulu penggunaan kata yang salah. Kemudian, potong jawapan yang mengandungi nombor jawapan itu.

Baki jawapan yang ada haruslah dianalisis untuk mengenal pasti kesalahannya.

Walau bagaimanapun, latihan dan persediaan awal amat perlu untuk memudahkan para pelajar menjawab soalan-soalan jenis ini.



Soalan 18 – 21
Soalan dalam kumpulan ini ingin menguji pengetahuan sintaksis para pelajar. Para pelajar diminta mengenal pasti sama ada bahagian ayat yang digaris itu betul atau salah. Jika didapati salah, pilih jawapan yang tepat bagi menggantikan bahagian yang bergaris itu.
1. Baca bahagian yang bergaris itu dengan teliti. Cuba kenal pasti aspek-aspek tatabahasa yang terdapat dalam ayat yang digaris itu. Misalnya, sama ada, dari aspek imbuhan, kata ganda, struktur ayat, atau pemajmukan.
2. Melihat jawapan juga, adalah salah satu cara untuk mendapat jawapan yang betul. Mana-mana jawapan yang memang dikenal pasti salah, hendaklah dipotong.
3. Dengan cara ini, jumlah jawapan yang hendak dipilih semakin berkurang, maka memudahkan anda untuk membuat pemilihan. Namun, seperti biasa, penguasaan tatabahasa
amatlah mustahak. Latihan yang konsisten, pasti menambah pengalaman dan penguasaan pelajar untuk menjawab soalan ini.



Soalan 22 - 24
Soalan untuk menentukan maksud ayat. Soalan jenis ini memang popular sejak dahulu lagi. Pelajar diuji untuk mengenal pasti ayat yang mempunyai maksud yang sama tetapi berbeza dari segi strukturnya.

Pelajar mesti membaca ayat utama dengan teliti dan cuba memahaminya.

Isi utama yang terkandung dalam ayat itu hendaklah dikenal pasti dan ditandakan. Biasanya tiga.

Contoh

# Lawatan ke pusat kraf tangan itu bertujuan untuk mendedahkan penduduk kampung supaya mereka dapat memanfaatkan hasil bumi tempatan.

Kemudian, kenal pasti jawapan atau ayat yang lain, yang mengandungi ketiga-tiga isi tersebut.

Contoh

# Setelah melawat pusat kraf tangan itu, penduduk kampung mendapat pendedahan tentang bagaimana
hendak memanfaatkan hasil bumi tempatan.
Soalan ini kadangkala sangat mengelirukan. Oleh itu, pelajar harus teliti dan sentiasa memeriksa semula jawapan anda. Dengan latihan yang konsisten, pelajar pasti dapat menambah pengalaman dan penguasaan untuk menjawab soalan ini.




Soalan 25 -27        
Soalan ini ingin menguji pelajar supaya memilih gabungan ayat yang betul tatabahasanya sahaja. Jumlah ayat yang diberi adalah
sebanyak empat.
  • Di samping mencari ayat yang betul dari segi tatabahasanya, para pelajar juga boleh menggunakan teknik mengenal pasti ayat yang nyata kesalahannya.
  • Jika ayat itu ternyata salah, maka, jawapan yang mengandungi ayat itu dipotongkan. Dengan cara ini, hanya tinggal beberapa ayat sahaja yang perlu
    dianalisis.

Contoh

I Rumah silam itu kelihatan sungguh menyeramkan.

II Hampir setiap malam ibu bertemankan air mata.

III Setiausaha Encik Ali bukan sombong, hanya bersikap tegas. (x) (sombong = kata adjektif; sepatutnya = tidak)

IV Puan Tan terpaksa melahirkan kedua-dua orang anaknya itu melalui pembedahan kerana dia menghidap penyakit darah tinggi.

A I dan II sahaja

B II dan III sahaja      (x)

C II dan IV sahaja

D III dan IV sahaja     (x)
  • (Jawapan yang tepat ialah C kerana ayat perkataan silam pada rumah tidak boleh digunakan dan jawapan yang sebenarnya ialah usang.)
  • Namun, seperti biasa, penguasaan tatabahasa amatlah mustahak. Latihan yang konsisten, pasti menambah pengalaman dan penguasaan pelajar untuk menjawab soalan ini.

Soalan 28 – 30
Soalan tentang peribahasa.
  • Soalan ini menguji pemahaman pelajar tentang peribahasa. 
  • Peribahasa terlalu banyak dan sukar dihafal, tetapi  pelajar
    harus cuba memberi penekanan terhadap peribahasa-peribahasa yang terkandung di dalam buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 1, 2, dan 3. 
  • Senaraikan peribahasa yang terdapat di dalam buku teks.
  • Cari maksud dan makna peribahasa tersebut. Cuba gunakan peribahasa di dalam ayat atau dalam karangan pelajar.
  • Latihan yang konsisten, pasti menambah pengalaman dan penguasaan pelajar untuk menjawab soalan ini.
Soalan 31 – 35
Pemahaman Prosa (KOMSAS)

Soalan 36 – 40
Pemahaman Puisi (KOMSAS)




  • Pelajar perlu membaca petikan dengan teliti sekurang-kurangnya dua kali. Jangan hanya membaca ayat atau perenggan yang berkaitan dengan soalan sahaja.
  • Kemudian, bacalah soalan-soalan dan setiap jawapan pilihan dengan teliti.

  • Fahamilah maksud penggunaan kata dan frasa seperti kecuali, antara berikut, pernyataan yang benar, pernyataan yang tidak benar, perkara utama, mesej, pengajaran,
    tema, nilai murni, dan sebagainya. Jika kata atau frasa ini tidak difahami secara jelas, maka pelajar akan membuat kesilapan semasa mencari jawapan.
  • Secara umumnya, soalan-soalan ini berdasarkan tiga bentuk, iaitu:


  1. Soalan pemahaman berdasarkan petikan;
  2. Soalan pemahaman KOMSAS berdasarkan petikan;
  3. Soalan pemahaman KOMSAS berdasarkan keseluruhan prosa atau puisi.
Soalan (a)
  • Pelajar dikehendaki mencari jawapan berdasarkan isi petikan sahaja. Cuba kenal pasti jawapannya dalam setiap perenggan atau setiap rangkap.




Soalan (b)
  • Pelajar dikehendaki mengenal pasti aspek-aspek sastera tetapi berdasarkan petikan sahaja.




Soalan (c)
  • Pelajar dikehendaki mengenal pasti aspek-aspek sastera berdasarkan keseluruhan prosa atau puisi yang dikemukakan oleh soalan.




Oleh yang demikian, untuk menjawab soalan pemahaman dengan baik, pelajar wajarlah menguasai pelbagai aspek sastera yang diajar oleh guru.









Post a Comment

0 Comments