Pada zaman revolusi teknologi
telekomunikasi dan multimedia tanpa had ini, telefon bimbit digunakan dengan
meluas dalam kalangan masyrakat. Pada suatu masa dahulu, telefon bimbit
dianggap sebagai barangan mewah yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan orang
selain bentuknya yang besar dah sukar dibawa. Namun, selepas kita memasuki alaf
baru, pengguna telefon bimbit meningkat bak cendawan tumbuh selepas hujan disebabkan
harganya yang jauh lebih murah selain bentuknya yang lebih kecil dan senang
dibawa ke mana-mana. Kini, tidak hairanlah hampir semua penduduk dunia
mempunyai sekurang-kurangnya sebuah telefon bimbit. Pelajar sekolah pula
tidak ketinggalan dalam perlumbaan mengejar kecanggihan malah ada juga yang
telah pun mempunyai telefon. Jika diperhalusi, penggunaan telefon bimbit dalam
kalangan pelajar ini mendatangkan implikasi yang pelbagai kepada para pelajar.
Persoalannya, apakah implikasi yang akan diterima oleh para pelajar jika mereka
menggunakan telefon bimbit dengan bijak atau sebaliknya?
Memang tidak dapat dinafikan bahawa
penggunaan telefon bimbit banyak memberikan faedah kepada para pelajar. Salah
satu kebaikan yang dimaksudkan ialah telefon bimbit membolehkan kita
menghubungi rakan atau sanak saudara
terutamanya yang berada jauh di perantauan dengan mudah. Kita dapat menelefon
orang tersayang bagi mengubati rindu dengan kos yang tidak terlalu mahal.
Lebih-lebih lagi, dengan teknologi 4G, kita dapat membuat membuat panggilan
video, menghantar mesej melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) atau Khidmat
Pesanan Multimedia (MMS) kepada orang tersayang. Malahan dengan adanya
applikasi Whatsapp dan Telegram, kita boleh menghubungi sanak saudara dan
handai taulan secara percuma di mana sahaja kita berada. Teknologi sebegini
amat penting bagi mengubati rindu selain mengukuhkan silaturahim dalam kalangan
sanak-saudara dan juga sahabat handai. Tanpa telefon bimbit, kita terpaksa
menggunakan telefon awam di luar negara untuk menelefon ahli keluarganya.
Intihanya, kita perlu mengapresiasikan penggunana telefon bimbit kerana afdal
untuk mengukuhkan hubungan. Oleh hal yang demikian, penggunaan telefon bimbit
oleh para pelajar pastinya dapat mengukuhkan ikatan silaturahim antara ahli
keluarga bagai isi dengan kuku walaupun tinggal berjauhan. Tegaslah bahawa
telefon bimbit merupakan medium yang berkesan sebagai alat perhubungan antara
pelajar dengan ahli keluarganya juga dengan rakan sebaya.
Selain itu penggunaan telefon
bimbit juga banyak membantu dalam
komunikasi harian. Kita tidak perlu lagi bersusah-payah untuk pergi ke rumah
seseorang untuk berkongsi ataupun menyampaikan maklumat. Bukan itu sahaja,
keselamatan seseorang individu juga akan
lebih terjamin kerana telefon bimbit mudah digunakan bagi mendail pihak polis
atau sesiapa sahaja dalam masa kecemasan. Malahan kini banyak applikasi telefon
pintar yang membolehkan ibu bapa mengesan kedudukan anak-anak mereka supaya
mereka tahu di mana anak-anak mereka berada. Sejak kebelakangan ini.banyak kes
dimana individu terutamanya remaja tiba-tiba hilang dan ahli keluarga atau
rakan-rakan dengan serta merta viralkan maklumat dan gambar mangsa melalui
Whatsapp atau Facebook untuk meminta bantuan orang ramai. Mereka akan berkongsi
berita tersebut dan tidak sampai 1 minit berita dan gambar mangsa yang hilang
akan tersebar ke seluruh Malaysia. Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)
dengan kerjasama Telekom Malaysia telah melancarkan aplikasi telefon pintar
terbaharu iaitu SaveME 999 POLIS untuk memudahkan orang ramai mendapatkan
bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Aplikasi SaveMe 999 POLIS membolehkan
pengguna menekan ikon "SaveME 999" pada skrin telefon pintar untuk
mendapatkan bantuan kecemasan. Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) di dalam telefon
pintar akan menentukan kedudukan pengguna. Apabila permohonan kecemasan dibuat,
alamat GPS dan maklumat pengguna akan dihantar ke Pusat Panggilan Kecemasan
999. Maklumat tambahan berkenaan insiden dan lokasi kejadian juga boleh
ditambah ke dalam permohonan yang dihantar.Perkara sebegini amat penting
terutamanya bagi seseorang pelajar yang berada dalam kecemasan.
Perkongsian matlumat tentang
pelajaran atau kerja rumah juga dapat dilakukan dengan lebih mudah dengan
adanya telefon bimbit. Melalui telefon
bimbit, kita boleh bersosial dengan sesiapa sahaja, tanpa mengira tempat, masa
dan usia. Fenomena ini menyebabkan orang sudah tidak berminat untuk menggunakan
pesanan khidmat ringkas (sms) atau telefon berbayar. Semuanya boleh dilakukan
secara percuma dengan aplikasi terbaru iaitu ‘whatsapp’ sehingga orang lebih
suka ber ‘whatsapp’ dari ber ‘facebook’. Dengan maklumat yang disalurkan secara
percuma melalui ‘whatsapp’, ada baiknya digunakan saluran ini untuk perkara
yang lebih berfaedah. ‘Whatsapp’ boleh mendatangkan kebaikan jika pandai
memanfaatkannya. Sebagai seorang
pelajar, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru merupakan satu kewajipan
penting bagi seseorang pelajar yang ingin berjaya. Dalam masa yang sama juga,
ada pelajar yang perlu berada di luar kawasan sekolah untuk mengharumkan nama
sekolahnya dengan menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan oleh pihak
Jabatan atau Kementerikan Pendidikan. Hal ini menyebabkan pelajar tersebut tidak
dapat mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Oleh itu,
pelajar itu akan menghubungi rakan-rakannya melalui telefon bimbit untuk
bertanyakan tugasan yang perlu disiapkan waima tidak berada di sekolah. Secara
tidak langsung, segala perkara penting yang disampaikan oleh guru ketika
pelajar tidak boleh hadir ke sekolah dapat diketahui dengan segera melalui
penggunaan telefon bimbit. Budaya tolong-menolong ibarat berat sama dipikul,
ringan sama dijinjing antara pelajar sekolah juga dapat dipupuk dalam kalangan
pelajar. Ringkasnya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar dapat
memudahkan urusan pembelajaran mereka.
Malangnya, disebalik kebaikan
telefon bimbit, ada udang di sebalik batu di sebalik penggunaannya. Hal ini
demikian kerana telefon bimbit dapat memberikan impak negatif terhadap
penggunanya. Penggunaan telefon bimbit yang tidak terkawal boleh menyebabkan
berlakunya pembaziran. Hal ini dikatakan demikian kerana golongan remaja
seperti saya yang umur baru setahun jagung, darah baru setampuk pinang juga
ingin mempunyai model telefon bimbit terbaru apabila melihat kawan lain juga
memilikinya. Bukan itu sahaja, terdapat juga pelajar terpaksa menanggung bil
telefon yang mahal kerana kerap menelefon dan berbual-bual dengan kawan
walaupun mengetahui kadar bayarannya. Sebenarnya, mereka sepatutnya mengukur
baju di badan sendiri dan jangan nanti sudah terhantuk baru tengadah. Bak kata
pepatah melayu, ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Oleh itu, pelajar
harus mengurangkan penggunaan telefon bimbit supaya dapat mengelakkan pembaziran
Penggunaan telefon bimbit dalam
kalangan pelajar sememangnya menjejaskan pelajaran mereka. Hal ini berlaku
kerana pelajar menggunakan telefon bimbit tanpa kawalan dapat menatijahkan
prestasi akademik dalam kalangan pelajar semakin merosot. Hal ini memanglah
serius kerana pendidikan merupakan teras kekuatan masyarakat supaya mampu
berdaya saing dengan pasaran global pada era globalisasi yang pantas berubah.
Misalnya, pelajar telah mengabaikan pelajaran mereka kerana fokus pelajar
semasa waktu pengajaran dan pembelajaran telah berkurang. Menurut kajian,
rata-rata generasi muda menggunakan aplikasi dalam telefon pintar untuk
melayari laman sembang dan aplikasi permainan maya sehingga ketagihan. Secara
implisit, prestasi akademik pelajar akan merosot kerana kekurangan
inisiatif dan semangat yang membara bagai hilang kapak berganti beliung selepas
ketagihan dalam perisian telefon bimbit yang semakin canggih.. Mereka sering
menghantar mesej kepada kawan untuk perbualan kosong. Selain itu, kita acapkali
tersentak dengan masalah “pasangan” yang berlaku di bangku sekolah. Penggunanan
telefon bimbit dalam kalangan pelajar akan menimbulkan lagi masalah tersebut.
Tambahan pula, sekiranya pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka
tidak akan menumpukan perhatian untuk belajar tetapi leka dengan permainan
video. Mereka juga terpaksa menanggung risiko kehilangan telefon bimbit. Jelaslah
bahawa ketagihan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar akan
menjejaskan prestasi akademik mereka.
Lanjutan daripada huraian yang telah
dinyatakan di atas, penggunaan telefon bimbit juga boleh menjejaskan kesihatan pelajar. Dalam satu
rencana yang disiarkan di Harian Metro terbitan 29 April 2015 menyatakan antara
kesan buruk penyakit yang boleh
menjejaskan kesihatan pelajar sekiranya tabiat obses teknologi ini diteruskan
tanpa ada had adalah Insomnia dimana penggunaan telefon pintar seperti
permainan video, melayari Internet dan sebagainya secara tidak langsung boleh
menjejaskan kualiti tidur. Ketagihan terhadap media sosial misalnya akan
membawa kepada tabiat berjaga malam dan akhirnya menyebabkan masalah kekurangan
tidur dan keletihan. Terlalu bergantung kepada teknologi akan menyebabkan
memori jangka pendek menjadi kurang berkesan serta boleh menyebabkan pelajar
lemah daya ingata. Setiap status dan perkongsian yang kita lihat di ‘newsfeed’
Facebook sebagai contoh, pula boleh mempengaruhi mood seseorang. Ia boleh
menjadi punca sikap negatif dan menimbulkan perasaan cemburu apabila melihat
gambar dan membaca mengenai status orang lain seterusnya boleh menyebabkan
pelajar tersebut mendapat masalah kemurungan. Telefon pintar juga boleh menjadi
tempat pengumpulan kuman malah lebih kotor daripada pemegang berus tandas. Kita
sedia maklum bahawa kuman boleh membawa kepada pelbagai penyakit. Jadi pastikan
anda membersihkan telefon pintar anda sekerap mungkin untuk mengelakkan kita
memberi ruang kepada pelbagai jenis penyakit menyerang diri sendiri. Selain itu, telefon bimbit akan mengeluarkan
gelombang semasa kita menjawab telefon dan akan mengganggu fungsi saraf otak
sehingga menyebabkan barah atau kanser. Tuntasnya, pelajar sepatutnya tidak
menggunakan telefon bimbit. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tiada gunanya.
Kesimpulannya, penggunaan telefon
bimbit dalam kalangan pelajar mendatangkan lebih banyak kesan buruk daripada
kesan baik. Pelajar seyogianya perlu memanfaatkan kebaikan dan mengelakkan keburukan
penggunaan telefon bimbit kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk
dijadikan sempadan. Sebagaimana kata pepatah, genggam bara api biarlah sampai
jadi arang, justeru itu, langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik
perlu dilaksanakan oleh semua pihak secara berterusan dan jangan sekadar
hangat-hangat tahi ayam sahaja untuk membasmi masalah yang timbul ekoran
daripada penggunaan telefon bimbit serta melahirkan remaja yang berwawasan
kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
5 Comments
Ya its help me to revison in exam.
ReplyDeletevery good
ReplyDeletemohon copy . terima kasih
ReplyDeleteWhat, NO!
ReplyDeleteI greatly agree with you
ReplyDelete