Oleh: DR. MOHD MAHZAN AWANG
NEGARA merdeka memiliki kedaulatan tersendiri. Ia dilambangkan dalam pelbagai bentuk interaksi simbolik. Bendera negara, umpamanya adalah simbol kepada kewujudan dan kedaulatan sesebuah negara.
Maka, mengibarkan bendera sebagai menzahirkan rasa cinta dan syukur menjadi warga sesebuah negara adalah satu tingkah laku mulia. Sebaliknya pula, menterbalikkan dan mengoyak bendera adalah satu bentuk penghinaan bukan saja kepada sesebuah negara tetapi juga kepada seluruh rakyat sesebuah negara.
Begitu juga dalam soal penghormatan terhadap Malaysia menerusi lagu kebangsaan Negaraku. Berdiri tegap ketika lagu Negaraku dinyanyikan adalah satu bentuk penghormatan fizikal yang senang diukur tetapi sejauh mana ia dihayati sebagai simbol kebesaran negara adalah amat sukar dikenal pasti.
Justeru, tidak hairan apabila ramai rakyat Malaysia tidak menzahirkan rasa hormat kepada lagu Negaraku sebagaimana yang dikehendaki. Umum mengetahui bahawa penghormatan kepada lagu kebangsaan negara di Thailand dan Indonesia telah menjadi sebahagian budaya mereka.
Untuk menjadikan cara penghormatan sebagai sebahagian budaya bukan satu perkara yang boleh dilakukan secara tiba-tiba. Ia memerlukan satu mekanisme perubahan yang berasaskan kajian empirikal.
Bukan bendera dan lagu kebangsaan sahaja yang menjadi simbol kepada kebesaran negara, tatapi konsep 'simbol kebesaran negara' adalah suatu yang meluas. Memahami konsep ini sebenarnya memerlukan satu penelitian sejarah, pemahaman dan penghayatan yang berseni.
Amnya, simbol kebesaran negara dapat dibahagikan kepada dua kategori iaitu simbol kebesaran negara yang konkrit dan simbol yang abstrak.
Barangkali lebih mudah untuk menghormati simbol kebesaran konkrit kerana ia dapat dilihat dan disentuh. Simbol-simbol yang tergolong dalam kategori ini termasuklah Jalur Gemilang, bendera negeri, bendera Wilayah Persekutuan, bendera kerajaan tempatan, Jata Negara, lagu kebangsaan Negaraku, dan lagu-lagu rasmi negeri.
Oleh kerana ia berbentuk konkrit, maka kita dapat melihat secara jelas tentang bagaimana masyarakat menghormati simbol kebesaran negara ini.
Kita dapat melihat bagaimana rakyat di Malaysia menyambut perayaan hari kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang, menyanyikan lagu patriotik, aktiviti sambutan kemerdekaan di institusi pengajian tinggi serta hiasan-hiasan kemerdekaan di bangunan kerajaan. Tahniah, kepada yang telah menzahirkannya.
Tanpa menidakkan kepentingan dalam menzahirkan rasa cinta dan hormat kepada kedaulatan negara merdeka, terdapat satu fenomena yang mungkin lebih utama untuk diteliti iaitu sejauh mana simbol kebesaran negara yang berbentuk abstrak atau simbolik dihormati rakyat Malaysia.
Parlimen Malaysia dan Sistem Raja Berperlembagaan umpamanya adalah salah satu simbol kebesaran negara yang abstrak kerana ia bukan merujuk kepada bangunan Parlimen tetapi ia adalah satu tunjang dalam sistem pemerintahan demokrasi berparlimen.
Sistem ini telah menjadi tiang dalam pengurusan dan pelestarian kemerdekaan negara. Soalnya, bagaimanakah dan sejauh manakah rakyat Malaysia berlainan sosio-demografi menzahirkan rasa hormat kepada Parlimen Malaysia dan Raja Berperlembagaan?
Barangkali masih ada yang keliru tentang cara bertindak dalam ruang lingkup negara demokrasi yang seringkali dikaitkan dengan kebebasan bersuara. Memang negara demokrasi meraikan perbezaan pendapat dan meraikan kepelbagaian suara tetapi antara hak bersuara dan tanggungjawab untuk keharmonian negara adalah dua aspek yang saling berkait rapat dalam sistem demokrasi.
Justeru, bertindak secara demokratik dalam menyalurkan kritikan dan teguran secara matang menerusi saluran sah seperti badan-badan bukan kerajaan, parti-parti politik dan juga badan profesional adalah bukti aksi sosial dalam menghormati Parlimen Malaysia dan sistem Raja Berperlembagaan negara ini.
Barangkali, inilah cara rakyat Malaysia menghormati Parlimen Malaysia dan sistem Raja Berperlembagaan sebagai simbol kebesaran negara. Memandangkan penghormatan kepada simbol kebesaran negara yang berbentuk abstrak ini tidak dapat dinilai secara konkrit tetapi memerlukan satu deskripsi, satu garis panduan ekspektasi kerajaan Malaysia terhadap tingkah laku rakyat Malaysia dalam menzahirkan penghormatan kepada simbol kebesaran negara amat wajar diadakan.
Dengan cara ini, rakyat dapat mengetahui harapan kerajaan kepada tingkah laku rakyat. Di samping itu, memberi penghargaan kepada sikap dan tingkah laku rakyat yang menghormati simbol kebesaran negara adalah motivasi kepada semua. Juga, merancakkan lagi modal sosial menerusi pendidikan komuniti adalah satu perancangan yang perlu difikirkan secara serius.
Hakikatnya, menzahirkan rasa hormat kepada negara bukanlah semata-mata perbuatan fizikal tetapi yang lebih penting adalah bagaimana kita bertindak dan berperilaku dalam konteks falsafah demokrasi di Malaysia.
PENULIS ialah pensyarah Pendidikan Komuniti di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sumber: http : //www.utusan.com.my/
0 Comments