Ad Code

Isu Alam Sekitar - Anda Mungkin Antara Puncanya Sungai Tercemar



Isu Alam SekitarTahukah bahawa air sisa dari rumah serta tandas anda mungkin kembali semula dalam paip anda?

Anda tidak berseorangan jika menjawab "Mana boleh" dan S. Piarapakaran, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) sudah 'alah bisa tegal biasa' dengan jawapan yang sedemikian.

Persatuan ini dari masa ke masa mengadakan program untuk mendidik orang awam terutamanya pelajar sekolah rendah dan menengah serta orang dewasa mengenai pentingnya pemuliharaan sungai dan air.

"Bukan sahaja pelajar sekolah dan menengah, orang dewasa pun sama. Secara umumnya mereka tidak tahu ke mana air sisa itu pergi.

"Ada yang menjawab air itu pergi ke tangki septik dan berakhir di situ," katanya dalam satu wawancara baru-baru ini.

AIR KITAR SEMULA

Menurut beliau, bagi mereka yang mendiami pangsapuri dan kondominium, air sisa lazimnya masuk ke dalam tangki septik sebelum dialirkan ke loji perawatan sisa kumbahan Indah Water Konsortium (IWK).

Air sisa yang sudah dirawat akan dilepaskan ke dalam sungai di mana ia akan diproses di loji perawatan air sebelum dibekalkan semula ke premis kediaman dan perniagaan.

Untuk rumah kediaman yang mempunyai tangki septik individu yang bukan di bawah penyeliaan IWK, Piarapakaran berkata air sisa akan mengalir ke dalam longkang dan sungai.

Beliau menunjukkan kira-kira 37 peratus pengguna berpotensi mencemar sungai tanpa disengajakan kerana ketiadaan sistem pembetungan yang sepatutnya.

Perangkaan ini berdasarkan statistik 2011 mengenai tangki septik yang disediakan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

"Mereka ini tinggal di kampung dan taman perumahan lama di Petaling Jaya. Bagi sesetengah penempatan lama di Kuala Lumpur serta di seluruh negara, tangki septik melepaskan isi kandungannya ke dalam longkang," kata Piarapakaran serta menambah ramai penghuni kawasan berkenaan tidak menyedari keadaan ini.

Beliau turut mengingatkan orang ramai betapa pentingnya mereka yang mempunyai tangki septik individu untuk melakukan penyahenapcemar (desludge) sekali setiap dua tahun untuk pengurusan sisa yang lebih baik.

Kegagalan untuk melakukan penyahenapcemar boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 sekiranya langkah penguatkuasannya dijadikan mandatori.

Bagaimanapun, dalam soal membayar yuran penyahenapcemar ini, Piarapakaran, mencadangkan agar pengguna diberi pilihan untuk membayar yuran secara bulanan dan bukan sekali gus apabila kerja penyahenapcemar dijalankan.

"Kami ada membangkitkan masalah ini dengan SPAN. Kami mencadangkan premis kediaman membayar ansuran bulanan dan bukannya bayar semua sekali gus memandangkan servis ini bukan dibuat serta merta," katanya.

Pencemaran sungai berpunca daripada pengguna domestik boleh dikurangkan sekiranya pengguna menggunakan air secara cekap.

AWER baru-baru ini melancarkan satu peranti atas talian (online tool) dikenali sebagai Catch d' Hydro (Tangkap si Hydro) bagi membantu pengguna domestik menjadi cekap daripada segi penggunaan air secara sistematik.

Menurut Piarapakaran, peranti itu dibangunkan sebagai sebahagian daripada program inovasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan ia boleh diakses menerusi www.water.org.my.

PENCEMARAN SUNGAI

Dalam wawancara dengan Bernama, Presiden AWER itu turut melahirkan kebimbangan mengenai pencemaran sungai akibat sisa berjadual.

Sisa berjadual adalah sisa yang tidak boleh dilupuskan sewenang-wenangnya kerana ia boleh menyebabkan pencemaran.

Logam berat yang juga bertoksik tinggi turut termasuk dalam kategori ini.

"Bahan ini sepatutnya dikendalikan kontraktor yang diberi lesen oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS)," jelasnya.

Beliau berkongsi dengan penulis beberapa aduan berkaitan dengan pembuangan sisa berjadual secara haram.

Satu kes berlaku di kawasan Lembah Klang di mana bahan kimia yang berbau kuat dibiarkan di premis kontraktor berkenaan dan ianya terletak di tengah-tengah kawasan perumahan.

"Apabila hujan, bahan kimia ini mengalir ke dalam longkang dan buih-buih hanyut serta berterbangan dan ianya mengalir masuk ke dalam Sungai Klang.

"Satu lagi kes di Nilai. Mereka yang tinggal di sekitar kawasan itu mengadu terpaksa menghidu bau bahan kimia ini sepanjang hari dan malam.

"Kami ada membuat aduan dan bau itu telah berkurangan tetapi masih boleh dihidu terutamanya apabila hujan," kata Piarapakaran yang menekankan bahawa mencairkan air sisa adalah satu kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

KAJIAN AWER

Menurut Piarapakaran, AWER sedang menyediakan satu kajian mengenai pengurusan kawasan tadahan air negara ini termasuk di Sabah and Sarawak.

Kajian yang dimulakan pada 2011 itu dijadualkan siap pada pertengahan 2014.

"Sama ada kita suka atau tidak, air adalah penting untuk kita. Sekiranya kita gagal menjaganya, kita akan kehilangannya," kata beliau.

Piarapakaran turut mengeluh dengan kepercayaan umum bahawa Malaysia mempunyai banyak sumber air hanya kerana negara ini mempunyai musim hujan dan banyak sungai.

"Apa yang mereka tidak fikirkan ialah sama ada air itu boleh diminum.

"Malahan ada yang mencadangkan kita ambil air bawah tanah sedangkan sumber air itu amat terhad," katanya.

Kajian awal AWER menunjukkan kawasan tadahan air negara ini berada pada paras yang berisiko tinggi kerana pihak berkuasa tidak bersungguh-sungguh mengambil langkah melindungi kawasan terbabit.

Kegiatan pembalakan yang berleluasa beserta dengan sikap 'tidak merancang awal' memungkinkan Malaysia berdepan dengan masalah kemarau yang lebih teruk di masa depan.

"Ini kerana hutan hujan yang tidak dicerobohi lazimnya mengawal iklim sendiri serta peratusan tinggi hujan yang turun, adalah daripada hutan itu sendiri" kata Piarapakaran.

PERLU DIDIDIK

Piarapakaran memberitahu penulis air sisa yang dilepaskan mesti dikawal selia piawaiannya.

Untuk kawasan yang sudah membangun, piawaiannya mesti ditingkatkan dari semasa ke semasa dan ini adalah bidang kuasa kerajaan negeri dan JAS sementara pendekatan berperingkat diperlukan untuk kawasan pembangunan lain.

Orang awam dan pemilik perniagaan termasuk pengusaha restoran dan bengkel perlu dididik mengenai isu yang berbangkit.

Langkah berkenaan, katanya, adalah untuk melindungi kepentingan yang lebih besar kerana apa juga kos yang dibelanjakan untuk merawat air, ianya akan sampai kepada pengguna dalam bentuk tarif air.

"Kerajaan persekutuan dan negeri perlu proaktif dan bukan bertindak apabila terdesak seperti yang berlaku apabila timbul masalah jerebu.

"AWER mahu kerajaan negeri mewartakan semua kawasan tadahan air menjelang 2015. Sekiranya mereka gagal berbuat demikian, langkah seterusnya adalah untuk mendapatkan sokongan orang awam supaya diadakan pungutan suara dalam meletakkan kawal selia kawasan tadahan air di bawah kuasa Parlimen.

"Kami benar-benar serius mahu melindungi kawasan tadahan air ini termasuk sungai," katanya.

-- BERNAMA

Post a Comment

0 Comments