Sesungguhnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 adalah buah fikiran rakyat. Ini kerana PPPM dibina atas saranan rakyat mengenai sistem pendidikan yang mereka inginkan untuk generasi muda negara.
Dalam menggubal PPPM ini, kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membabitkan rakyat daripada semua lapisan dan sektor untuk ikut serta dalam pelbagai dialog terbuka, perbincangan meja bulat, bengkel dan sebagainya. Tujuannya untuk memperoleh maklumat dan cadangan yang boleh diberi pertimbangan dalam PPPM.
Sehubungan ini, berpuluh-puluh ribu orang awam, pendidik, pelajar, pegawai pendidikan dan lain-lain dari seluruh negara, memperlihat keprihatinan mereka terhadap sistem pendidikan negara. Mereka lakukan ini untuk kebaikan golongan muda kita agar dapat melalui sistem pendidikan yang bermutu.
Pelbagai pandangan diambil kira
Selain ini, ribuan tulisan dalam media, baik yang konvensional mahupun baharu, memorandum pihak berkepentingan serta resolusi seminar yang dianjurkan oleh pihak bebas, turut diambil kira.
Pandangan panel penilai bebas dalam dan luar negara, kajian universiti tempatan dan badan antarabangsa seperti Bank Dunia, serta dapatan makmal pendidikan yang dianjurkan oleh KPM, ikut dijadikan input untuk penggubalan PPPM.
Setiap satu maklumat ini dikumpul untuk dianalisis secara rinci. Hasilnya 25 perkara penting dikenal pasti. Perkara ini kemudian dikelompokkan di bawah lima tajuk, iaitu akses, kualiti, ekuiti, kecekapan dan perpaduan. Ini kemudian dijadikan lima aspirasi pada sistem pendidikan negara.
Selain ini, enam aspirasi untuk setiap pelajar juga digariskan. Ia meliputi pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dua bahasa, etika dan kerohanian serta identiti nasional. Semua ini sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Daripada maklumat yang dikumpulkan itu, 11 anjakan paradigma dikenal pasti untuk memacu sistem pendidikan negara pada tahap yang membolehkan golongan muda kita bersaing di persada antarabangsa.
Anjakan itu adalah peluang sama rata untuk memperoleh pendidikan bermutu, kecekapan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, pemerkasaan pendidikan agama dan moral, transformasi profesion perguruan, kepemimpinan sekolah yang berprestasi tinggi, pengupayaan jabatan pendidikan, pemanfaatan teknologi maklumat dan komunikasi, transformasi kebolehupayaan KPM, kerjasama ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, perancangan perbelanjaan berkesan serta ketelusan kebertanggunjawaban berhubung PPPM.
Jangkaan pencapaian
Pelancaran PPPM yang bakal disempurnakan itu dijangka akan ikut memperlihat jangkaan pencapaian pada setiap gelombang masa yang ditetapkan. Untuk ini, tiga gelombang dikenal pasti. Yang pertama ialah dari 2013-2015, kedua dari 2016-2020 dan ketiga 2021-2025. Ini sebetulnya memperlihat betapa seriusnya iltizam kerajaan untuk membangunkan pendidikan di negara pada kali ini yang perlu sesuai dengan keperluan abad ke-21. Oleh itu, tidak wajar sekali jika ada pihak dalam kalangan rakyat Malaysia yang cuba mempertikai PPPM, lebih-lebih lagi dari sudut perkauman.
Tindakan sesetengah pihak daripada kaum Cina untuk menentang PPPM kerana didakwa akan melenyapkan pendidikan aliran Cina akhirnya, bukan sahaja langsung tidak berasas tetapi amat bersifat perkauman.
Ini kerana dakwaan itu memberi implikasi bahawa kerajaan yang diterajui etnik Melayu sebagai kelompok dominan, mengamalkan dasar diskriminasi terhadap kelompok minoriti. Ini sesungguhnya tidak benar sama sekali.
Iktiraf pendidikan vernakular
Sehubungan ini, PPPM seperti beberapa pelan pembangunan pendidikan sebelumnya, tetap mengiktiraf pendidikan vernakular. Selain menyangga asas pembentukan negara, iaitu kemajmukan etnik dan keragaman budaya, PPPM ikut membangunkan pendidikan aliran Cina selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.
Berbalik kepada penentangan ini, rakyat yang ikut menggubal PPPM perlu bangun untuk menempelak pihak ini. Ini kerana pihak ini langsung tidak menghormati saranan dan gagasan rakyat yang menjadi sebahagian besar PPPM.
Sebenarnya tidak ada satu pun bahagian dalam PPPM, sama ada tersurat mahupun sebaliknya, yang menyaran penutupan pendidikan aliran Cina seperti yang didakwa wujud dalam PPPM oleh pihak ini.
Cadangan pelaksanaan PPPM, selain berlandaskan ilmu pendidikan, sudah tentu ikut mengambil kira aspirasi nasional, antaranya perpaduan negara dan integrasi nasional.
Justeru, penentangan terhadap PPPM boleh dianggap sebagai tindakan untuk menyanggah rencana negara. Sudah tentu ia boleh dikira sebagai perbuatan khianat kepada negara!
0 Comments