Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam Sejahtera dan
Salam 1Malaysia
Saudara/ri Pengacara Majlis….
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hj. Mohd Ali bin Mohd Rustam
Ketua Menteri Melaka,
Yang Berhormat Datok Md Yunos bin Husin
Pengerusi Jawatankuasa Negeri – Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar,
Yang Berhormat Datuk Gan Tian Loo
Exco Pelajaran, Belia dan Sukan,
Yang Berhormat Datuk Mat Sirat bin Abu
Ahli Parlimen Bukit Katil,
Yang Berhormat Datuk Wira Othman bin Muhamad
Speaker Kerajaan Negeri Melaka,
Pengerusi-Pengerusi dan Pegawai-Pegawai Kanan Jabatan,
Ahli-Ahli Yang Berhormat Dato-Dato, Datin-Datin Dif-Dif
Kehormat, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,
Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah
SWT kerana dengan izinNya, dapat kita bersama-sama meraikan Karnival PIBG yang
julung-julung kalinya dianjurkan secara bersama antara Parlimen Bukit Katil dan
PIBG Sekolah-Sekolah Negeri Melaka.
Inisiatif yang diambil bagi mengadakan Karnival PIBG secara
usahasama ini sememangnya sesuatu yang
harus dipuji. Pada hemat saya, program ini seiring dengan gagasan ‘1 Malaysia:
Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’. Dalam konteks ini, kerajaan bukan
sahaja komited terhadap usaha-usaha mengukuhkan perpaduan rakyat, tetapi juga
menekankan kepada prestasi dan pencapaian program untuk faedah rakyat
keseluruhannya.
Saya menyambut baik inisiatif program ini yang melibatkan
penyertaan semua pihak termasuk guru-guru dan pelajar-pelajar sekolah serta
warga PIBG.Langkah ini sudah tentu memberi suntikan semangat dan motivasi
kepada semua yang terlibat. Justeru, amat penting untuk kita meningkatkan ilmu
pengetahuan dan kemahiran bagi menghadapi era globalisasi.
Adalah menjadi harapan Jabatan Pelajaran Melaka agar karnival
selama dua hari ini, yang akan diisi dengan pelbagai program antaranya,
pameran dan jualan, akan dapat dijadikan platform dan dimanfaatkan sepenuhnya. Saya
percaya banyak maklumat yang bermanfaat akan dapat diperoleh oleh para peserta
menerusi program ini.
Hadirin yang saya hormati sekelian,
Tanpa kerjasama dan kesepakatan yang padu antara pihak sekolah, Pejabat Pelajaran
Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri, PIBG, komuniti, pemimpin setempat, sudah
tentulah hasrat untuk mencapai kecemerlangan dalam pelbagai aspek sukar
dicapai. Permuafakatan seumpama ini, diharapkan dapat membina persefahaman,
tentang tugas dan tanggungjawab bersama. Ini penting, dalam usaha meningkatkan
mutu pelajaran dan pembelajaran murid-murid
di sekolah. Sekolah yang mempunyai PIBG yang
prihatin tentang kemajuan sekolahnya akan menjadi sekolah yang gemilang dan
cemerlang. Dengan adanya PIBG yang aktif, cetusan idea yang baik akan
diperolehi, masalah sekolah boleh diatasi bersama, beban guru akan dapat
dikurangkan dan masalah kewangan juga akan dapat diringankan. Bahawa setiap
amanah dan tugas yang diberikan harus disempurnakan oleh ahli jawatankuasa
PIBG dengan penuh dedikasi dan dengan
lebih bersemangat.
Pihak
ibu bapa khususnya PIBG merupakan tulang belakang bagi kekuatan sekolah dalam
menggerakkan kecemerlangan pelajar dalam pelbagai bidang. Tanpa sokongan PIBG,
segala perkara yang kita lakukan tidak akan membuahkan hasil seperti yang
dinginkan. Pihak sekolah juga seharusnya sentiasa bersama-sama dengan PIBG
dengan merancang dan melaksanakan program kebajikan, membantu keperluan pelajar
yang berpotensi tinggi untuk berjaya dan memastikan segala keperluan yang tidak
dapat diselesaikan oleh pihak sekolah dibantu dan dapat diselesaikan melalui
saluran PIBG. Tidak ada jalan mudah untuk mencapai sesuatu kejayaan kecuali
dengan kerja keras dan kerjasama semua pihak.
Akhir kata, dengan sambutan yang amat
menggalakkan terhadap program ini, saya yakin dan percaya program ini akan
mencapai matlamatnya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memacu
pembangunan di Parlimen Bukit Katil. Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah
wasalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
0 Comments