Ad Code

Interaksi Anak Penting

HARI Bapa disambut di Malaysia pada hari Ahad ketiga bulan Jun. Tahun ini, Hari Bapa jatuh pada 20 Jun. Biarpun tidak sehebat sambutan Hari Ibu pada bulan lalu, masih terdapat pelbagai promosi hidangan di hotel-hotel dan restoran atau jualan tertentu yang dianjurkan sempena sambutan Hari Bapa tahun ini.

Mungkin demam Piala Dunia 2010 pada masa ini menyebabkan sambutan Hari Bapa tidak semeriah sambutan Hari Ibu. Penghormatan kepada ibu dan bapa perlu diberikan sepanjang masa. Namun pada sambutan Hari Bapa, tidak salah jika anak-anak meraikan bapa masing-masing bagi menunjukkan rasa sayang serta menghargai jasa dan pengorbanan mereka.

Dalam meningkatkan kesedaran anak- anak untuk menghormati dan menghargai bapa masing-masing, golongan bapa juga perlu diingatkan supaya memberikan sepenuh kasih sayang dan melindungi anak-anak dalam kesibukan menjalankan tugas setiap hari.

Kita sering membaca mengenai pengorbanan seorang bapa yang tidak berpelajaran tinggi tetapi masih berjaya membesarkan anak-anak sehingga mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan atau menjadi tokoh yang disegani masyarakat.

Pada masa yang sama, kita juga pernah terbaca laporan bapa merogol anak sendiri yang bukan saja berlaku di negara ini, tetapi di seluruh dunia.

Baru-baru ini, seorang bapa di Brazil dilaporkan mengurung dan memenjarakan anak perempuannya selama 12 tahun dan merogolnya berulang kali sehingga melahirkan tujuh orang anak.

Di Malaysia, seorang bapa dipenjara 20 tahun dan disebat 10 kali oleh Mahkamah Sesyen Temerloh pada awal bulan ini kerana merogol anaknya yang kurang upaya sehingga melahirkan seorang bayi perempuan.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman ketika ditemui di pejabatnya berkata, berdasarkan modul antarabangsa tiga ciri penting yang perlu ada pada golongan bapa ialah tanggungjawab, komitmen untuk meluangkan masa dan komunikasi.

''Kalau seorang bapa bertanggungjawab tetapi dia tidak luangkan masa, tidak boleh. Jika bapa itu sentiasa berada di rumah pun tetapi tidak berkomunikasi dengan anggota keluarga juga tidak baik. Oleh itu, ketiga-tiga ciri ini sama pentingnya.

''Berbanding dengan ibu, golongan bapa kurang berinteraksi dengan anak-anak kerana mereka menganggap segala masalah anak adalah tanggungjawab ibu. Ini adalah persepsi tradisional dan perlu diubah," jelasnya.

Tambah Aminah, interaksi antara bapa dan anak bukan sahaja terhad ketika anak masih kecil tetapi sehingga anak meningkat remaja. Interaksi di antara bapa dan anak remaja adalah penting kerana pada peringkat ini seorang remaja membina sahsiah dan keyakinan diri mereka.

Menyentuh mengenai kes jenayah seksual yang berlaku di antara bapa dan anak seperti yang sering dilaporkan media, beliau berkata, ia berpunca daripada rangsangan yang diterima dari pelbagai sumber termasuklah televisyen dan Internet.

''Apabila tidak ada ruang lain untuk bapa itu melepaskan nafsunya maka si bapa akan memilih mangsa yang paling dekat dan tidak mampu mempertahankan diri iaitu anak sendiri. Kita perlu mendidik bapa seperti ini supaya mampu mengawal nafsu diri dan mempunyai kemahiran untuk menguruskan tekanan," katanya.


Jelas Aminah, cabaran bapa pada masa kini adalah berlainan dengan golongan bapa selepas zaman merdeka dulu kerana hari ini sebahagian besar daripada pasangan muda tinggal berasingan dari ibu bapa masing-masing dan tidak mempunyai sokongan daripada ibu bapa yang lebih berpengalaman.


''Keluarga muda pada hari ini menghadapi cabaran dari segi ekonomi, ketiadaan sokongan ibu bapa dan kos untuk menyara dan membesarkan anak menjadi semakin tinggi dari semasa ke semasa. Ia tidak termasuk tekanan yang dihadapi di tempat kerja dan mengharungi kesesakan lalu lintas ke tempat kerja.

''Jika dikaji, kes bapa rogol anak selalunya berlaku ketika ibu tidak ada di rumah dan keluar bekerja. Ini mungkin berlaku kerana si bapa tidak mendapat perhatian dan masa yang secukupnya daripada si ibu," katanya.

Kata Aminah, masalah sosial timbul dalam keluarga apabila anggota keluarga tidak tahu mengurus tekanan dengan cara yang positif. Ada yang menangis, memukul ahli keluarga, minum arak dan berjudi.

''Oleh itu, ahli masyarakat termasuk saudara-mara, jiran dan rakan sekerja perlu peka dengan tanda-tanda yang menunjukkan orang yang mereka kenali gagal untuk mengurus tekanan hidup secara positif.

''Menyedari kepentingan untuk mengurus tekanan, pengurusan stres dan konflik menjadi salah satu modul keibubapaan LPPKN yang disediakan untuk pasangan yang bakal mendirikan rumah tangga. Dalam kehidupan urban hari ini, golongan bapa perlu tahu cara menangani tekanan kerana masalah kewangan adalah masalah utama masa kini," katanya.

Jelas Aminah, isu keibubapaan tidak pernah berakhir kerana setiap tahun lebih 200,000 pasangan mendirikan rumah tangga dan menjadi ibu bapa yang baru dalam masa dua tahun. Pada masa ini, terdapat lima juta keluarga di negara ini.

''Memandangkan bilangan keluarga bertambah setiap tahun, cara terbaik perlu dicari untuk meningkatkan kesedaran mengenai kemahiran kekeluargaan dan keibubapaan.

"Selain LPPKN, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan media perlu memainkan peranan dalam menyebarkan pelbagai maklumat," katanya.

Sumber : Utusan Malaysia Online

Post a Comment

0 Comments