SEMUA pihak harus memberi perhatian serius terhadap
peringatan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim pada 27
Februari lalu bahawa bahasa Melayu akan menjadi bahasa lemah hanya dalam tempoh
20 tahun akan datang jika tiada sebarang usaha dilakukan untuk memperkukuhkan
kedudukannya.
Menurut beliau, perkara itu tidak mustahil terjadi kerana
peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sudah dilupakan dan hanya digunakan
untuk urusan tidak rasmi.
Beliau meramalkan dalam tempoh kurang 20 tahun, bahasa
Melayu akan menjadi bahasa lemah sama sekali seperti tulisan jawi dan digunakan
di pasar sahaja.
Untuk memastikan perkara itu tidak menjadi kenyataan, semua
pihak harus mengambil pengajaran daripada isu peminggiran tulisan jawi sehingga
menyebabkannya hampir pupus sekarang.
Tulisan jawi berasal daripada huruf bahasa Arab yang telah
diubah dan ditambah sedikit bagi menepati sebutan orang Melayu yang berbeza
dengan masyarakat Arab.
Terdapat pelbagai sebab tulisan jawi hampir pupus, antaranya
kerana tidak lagi digunakan untuk menulis ilmu pengetahuan baharu. Kebanyakan
buku yang diterbitkan selepas merdeka menggunakan tulisan rumi termasuk yang
berkaitan Islam.
Seingat saya, buku utama terakhir yang ditulis dalam tulisan
jawi hanyalah Kitab Mat Kilau setebal 139 muka surat mengenai amalan pahlawan
dari Pahang itu yang berasaskan ayat-ayat al-Quran sehingga beliau dikatakan
ditetak tidak lut, ditembak tidak tembus dan boleh ghaib.
Keadaan itu nampaknya berulang apabila pensyarah di
universiti tempatan lebih cenderung menulis hasil penyelidikan terbaharu mereka
menggunakan bahasa Inggeris. Jarang mereka menulis menggunakan bahasa Melayu,
mungkin kerana tidak glamor.
Selain tiada penulisan mengenai ilmu pengetahuan baharu,
saya mendapati usaha menterjemahkan karya-karya asing ke dalam bahasa Melayu
masih sedikit sehingga menyebabkan banyak pihak tiada pilihan kecuali
mempelajari bahasa Inggeris untuk membolehkan mereka membaca naskhah asal.
Untuk mengelak perkara itu berterusan, buku terjemahan dalam
bahasa Indonesia perlu dibawa masuk ke negara ini bagi mengisi kekurangan yang
ada berikutan bahasa yang hampir serupa.
Satu lagi faktor tulisan jawi semakin pupus kerana tiada
sokongan kuat daripada kerajaan. Tidak pernah pun kita lihat pegawai-pegawai
kerajaan menulis surat rasmi menggunakan tulisan jawi.
Budaya gemar menulis dalam tulisan rumi bermula sejak zaman
penjajahan Inggeris yang menggunakannya dalam segala bentuk aktiviti pentadbiran
dan pendidikan di Tanah Melayu.
Keadaan sama berulang sekarang apabila ahli politik dan
pegawai kerajaan lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris ketika berucap pada
majlis rasmi atau membuat kenyataan media. Kalau bercakap bahasa Melayu pun
sudah pasti akan bercampur aduk dengan istilah dalam bahasa Inggeris.
Faktor lain yang menyebabkan tulisan jawi semakin pupus
kerana disekat daripada digunakan pada papan tanda nama jalan dan taman
perumahan.
Saya masih ingat kes pada 2008 apabila ada wakil rakyat
pembangkang yang mengadakan sidang akhbar membantah langkah Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur (DBKL) memasang papan tanda jalan baharu menggunakan bahasa Melayu
dengan tulisan jawi dan rumi.
Walaupun bahasa Melayu tidak disekat untuk digunakan pada
papan tanda dan nama taman perumahan sekarang tetapi perkara hampir sama
berlaku apabila pihak tertentu memilih untuk mengutamakan bahasa Inggeris.
Cukup sedih sekali apabila pihak berkuasa tempatan (PBT)
yang meluluskan penggunaan nama berkenaan diterajui oleh orang Melayu sendiri.
Kenapa mereka sanggup menjadi pengkhianat kepada bahasa sendiri?
Sementara itu, saya menyambut baik langkah kerajaan dengan
kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Kongres Budaya 2017 pada
15 April ini bagi mencari idea-idea baharu yang boleh diketengahkan dalam usaha
memperkasakan budaya dan adat Melayu yang semakin terhakis sejak kebelakangan
ini.
Sumber: Utusan Melayu Online
0 Comments