Ad Code

Bahasa Melayu Akan Menjadi Bahasa Lemah Hanya Dalam Tempoh 20 Tahun Akan Datang


SEMUA pihak harus memberi perhatian serius terhadap peringatan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim pada 27 Februari lalu bahawa bahasa Melayu akan menjadi bahasa lemah hanya dalam tempoh 20 tahun akan datang jika tiada sebarang usaha dilakukan untuk memperkukuhkan kedudukannya.

Image result for rais yatim

Menurut beliau, perkara itu tidak mustahil terjadi kerana peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sudah dilupakan dan hanya digunakan untuk urusan tidak rasmi.

Beliau meramalkan dalam tempoh kurang 20 tahun, bahasa Melayu akan menjadi bahasa lemah sama sekali seperti tulisan jawi dan digunakan di pasar sahaja.

Untuk memastikan perkara itu tidak menjadi kenyataan, semua pihak harus mengambil pengajaran daripada isu peminggiran tulisan jawi sehingga menyebabkannya hampir pupus sekarang.

Tulisan jawi berasal daripada huruf bahasa Arab yang telah diubah dan ditambah sedikit bagi menepati sebutan orang Melayu yang berbeza dengan masyarakat Arab.

Terdapat pelbagai sebab tulisan jawi hampir pupus, antaranya kerana tidak lagi digunakan untuk menulis ilmu pengetahuan baharu. Kebanyakan buku yang diterbitkan selepas merdeka menggunakan tulisan rumi termasuk yang berkaitan Islam.

Seingat saya, buku utama terakhir yang ditulis dalam tulisan jawi hanyalah Kitab Mat Kilau setebal 139 muka surat mengenai amalan pahlawan dari Pahang itu yang berasaskan ayat-ayat al-Quran sehingga beliau dikatakan ditetak tidak lut, ditembak tidak tembus dan boleh ghaib.

Keadaan itu nampaknya berulang apabila pensyarah di universiti tempatan lebih cenderung menulis hasil penyelidikan terbaharu mereka menggunakan bahasa Inggeris. Jarang mereka menulis menggunakan bahasa Melayu, mungkin kerana tidak glamor.

Selain tiada penulisan mengenai ilmu pengetahuan baharu, saya mendapati usaha menterjemahkan karya-karya asing ke dalam bahasa Melayu masih sedikit sehingga menyebabkan banyak pihak tiada pilihan kecuali mempelajari bahasa Inggeris untuk membolehkan mereka membaca naskhah asal.

Untuk mengelak perkara itu berterusan, buku terjemahan dalam bahasa Indonesia perlu dibawa masuk ke negara ini bagi mengisi kekurangan yang ada berikutan bahasa yang hampir serupa.

Satu lagi faktor tulisan jawi semakin pupus kerana tiada sokongan kuat daripada kerajaan. Tidak pernah pun kita lihat pegawai-pegawai kerajaan menulis surat rasmi menggunakan tulisan jawi.

Budaya gemar menulis dalam tulisan rumi bermula sejak zaman penjajahan Inggeris yang menggunakannya dalam segala bentuk aktiviti pentadbiran dan pendidikan di Tanah Melayu.

Keadaan sama berulang sekarang apabila ahli politik dan pegawai kerajaan lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris ketika berucap pada majlis rasmi atau membuat kenyataan media. Kalau bercakap bahasa Melayu pun sudah pasti akan bercampur aduk dengan istilah dalam bahasa Inggeris.

Faktor lain yang menyebabkan tulisan jawi semakin pupus kerana disekat daripada digunakan pada papan tanda nama jalan dan taman perumahan.

Saya masih ingat kes pada 2008 apabila ada wakil rakyat pembangkang yang mengadakan sidang akhbar membantah langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memasang papan tanda jalan baharu menggunakan bahasa Melayu dengan tulisan jawi dan rumi.

Walaupun bahasa Melayu tidak disekat untuk digunakan pada papan tanda dan nama taman perumahan sekarang tetapi perkara hampir sama berlaku apabila pihak tertentu memilih untuk mengutamakan bahasa Inggeris.

Cukup sedih sekali apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) yang meluluskan penggunaan nama berkenaan diterajui oleh orang Melayu sendiri. Kenapa mereka sanggup menjadi pengkhianat kepada bahasa sendiri?

Sementara itu, saya menyambut baik langkah kerajaan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Kongres Budaya 2017 pada 15 April ini bagi mencari idea-idea baharu yang boleh diketengahkan dalam usaha memperkasakan budaya dan adat Melayu yang semakin terhakis sejak kebelakangan ini.


Sumber: Utusan Melayu Online

Post a Comment

0 Comments