Ad Code

Faedah-faedah Amalan Berbudi Bahasa

Oleh Loo Shwu Ying
Tingkatan 3 Ixora SMKTM

      Dalam mengharungi era ledakan sains dan teknologi, budaya berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat semakin lenyap dalam sanubari dewasa dan remaja. Berita tentang remaja bertindak liar di luar batas-batas kehidupan dengan terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah seperti gengsterisme, vandalisme dan pornografi sering terpapar di dada akhbar dan kaca televisyen. Hal ini jelas menunjukkan betapa kroniknya masalah kelunturan amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat. Sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa kebejatan amalan mulia ini adalah disebabkan oleh pengaruh budaya kuning dari negara-negara barat seperti Amerika Syarikat, Belanda dan United Kingdom yang terkenal dengan sikap keterbukaan. Malaysia merupakan sebuah negara yang demokratik dan mengamalkan dasar buka pintu bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. Justeru, masyarakat kita tidak dapat lari dari pengaruh dunia luar dan pengaruh budaya kuning dengan mudahnya dapat bersarang di kotak fikiran masyarakat.

       Budaya berbudi bahasa perlulah dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian kita kerana seribu satu manfaat boleh diperolehi. Salah satu kepentingan amalan ini adalah dapat mewujudkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara kita. Masyarakat yang berbudi bahasa akan saling menghormati tidak kira apa jua warna kulit, taraf dan umur individu tersebut. Apabila wujud sikap saling menghormati, masyarakat akan dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan gembira walaupun hidup dengan masyarakat yang berbeza budaya, adat dan kepercayaan. Dalam pada itu, perselisihan faham antara kaum atau rusuhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969 dapat dielakkan. Ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-51 iaitu pada tahun 2008 yang bertemakan Perpaduan Teras Kejayaan jelas menunjukkan pentingnya perpaduan kaum dalam negara kita yang terdiri daripada rencaman bangsa. Pepatah ada mengatakan bersatu teguh, bercerai roboh. Justeru, apabila masyarakat bersatu, negara dapat berkembang dengan maju dan anasir-anasir luar tidak dapat menggugat kestabilan negara dengan mudah.

       Meninjau dari skop yang lebih luas, amalan berbudi bahasa dapat melahirkan masyarakat yang lebih bertamadun. Menurut konteks sejarah, masyarakat yang bertamadun merupakan masyarakat yang memiliki tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur selain pencapaian lahiriah. Oleh itu, masyarakat pada masa tersebut dapat membina empayar dan kerajaan yang kuat dan hebat seperti ketika tamadun Mesopotamia.

       Tamadun Mesir Purba, tamadun Indus dan tamadun Hwang He walaupun pada masa itu teknologi masih belum berkembang dengan sepenuhnya. Namun begitu, scenario hari ini yang menyaksikan masyarakat yang biadap dan kasar sikapnya seperti mengeluarkan kata-kata kesat amatlah memilukan hati bagai duri dalam daging. Hal ini seolah-olah masyarakat kita masih hidup dalam Zaman Jahiliah yang mana akhlak dan nilai hidup masyarakat pada masa tersebut adalah sangat rendah. Perkara seumpama itu tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat kkit lagi memandangkan negara kita telah lima dekad mencapai kemerdekaan. Untuk mendapatkan kemerdekaan bukanlah suatu perkara yang mudah tetapo untuk mempertahankan dan mengekalkan kemerdekaan merupakan perkara yang lebih sukar untuk dilakukan. Justeru, negara amat memerlukan masyarakat yang berfikiran matang dan bijak untuk mengelakkan penjajahan semula oleh kuasa-kuasa asing.

       Dari kaca mata yang lain, industri pelancongan juga turut meningkat. Masyarakat yang berbudi bahasa akan mempamerkan nilai-nilai yang positif seperti memberi layanan yang sopan dan bersikap lemah lembut terhadap pelancong asing. Hal ini penting agar dapat meninggalkan imej yang positif terhadap negara kita dalam diri pelancong. Pelancong juga akan mempunyai percutian yang menyeronokkan kerana beranggapan bahawa kedatangan mereka adaalah dialu-alukan dan dihargai oleh masyarakat tempatan. Dalam pada itu, pekerja-pekerja dalam Jabatan Kastam dan Imigresen, pemandu pelancong dan pemandu pengangkutan awam perlulah memainkan pereanan yang lebih penting dengan senantiasa melemparkan senyuman dan bertutur dengan nada yang lembut ketika berurusan dengan pelancong asing. Negara Jepun sayugia dijadikan teladan kerana masyarakatnya sememangnya kaya dengan budi bahasa. Contohnya, ucapan irasshaimase yang bermaksud selamat datang dalam bahasa Jepun pasti akan menusuk ke gegendang telinga tidak kira apa-apa kedai yang dikunjungi. Amalan berterima kasih juga merupakan sesuatu yang biasa dalam masyarakat Jepun. Justeru, budaya murni ini perlulah diserapkan dalam jiwa dan raga setiap individu terutamanya golongan yang berurusan dengan pelancong asing agar merekadapat menikmati percutian yang menyeronokkan di negara kita.

       Di samping itu, pemimpin yang berdedikasi juga dapat dilahirkan. Pemimpin yang baik akan dapat mmentadbir negara dengan lancer kerana mendapat sokongan padu daripada rakyat. Dalam pada itu, golongan remaja merupakan asset yang sangat bernilai kepada negara kerana mereka adalah generasi pelapis yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara. Oleh itu, budi bahasa perlulah dijadikan panduan kepada kehidupan mereka supaya mereka dapat menjauhkan diri daripada kancah gejala social serta dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Pemimpin yang berbudi bahasa juga dapat meningkatkan imej negara kerana pemimpin dari negara lain akan kagum dan nmenghormati negara kita. Ironinya, hubungan diplomatik bagi menjamin kemajuan dan keselamatan nbegara dapat dijalainkan dengan mudah. Dengan itu, negara kita akan dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain. Selain itu, negara kita akan terkenal di persada dunia kerana sifat budi bahasa kita dan ini akan menjadi kebanggaan masyarakat kita.

       Individu yang berbudi bahasa juga akan memperolehi pelbagai kemaslahatan, antaranya mudah didampingi oleh orang lain,. Hal ini kerana individu yang berbudi bahasa sentiasa lemah lembut dan bersopan santun dalam pertuturan dan perlakuan. Mereka juga tidak akan mengeluarkan kata-kata yang kesat atau kata-kata yang menyakitkan hati. Justeru, mereka tida akan menyinggung perasaan orang lain. Sebaliknya, mereka akan dihormati dan disenangi oleh orang lain. Hal ini akan turut menjaga nama baik dan maruah individu tersebut dan keluargannya kerana sifat-sifatnya yang mulia itu. Konklusinya, budaya berbudi bahasa perlulah digarapkan oleh ibubapa dalam diri anak-anak sejak dari kecil lagi bagai melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ini, hasrat negara untuk melahirkan masyarkat yang berbudi bahasa menjelang tahun 2020 akan dapat direalisasikan.

       Natijah, sifat-sifat luhur dan amalan berbudi bahasa yang dahulunya menjadi kebanggaan masyarakat timur tetapi kian terhakis ini wajarlah dipulihkan dan dihidupkan semula. Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menyatakan yang negara kita akan mudah dikalahkan jika kita mempunyai infrastruktur kelas pertama tetapi mentali kelas ketiga. Oleh itu, dapatlah disimpulkan bahawa pembangunan nilai dan budaya yang betul amat mustahak untuk negara mencapai cita-citanya yakni untuk mencapai taraf negara maju yang duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negar-negara gergasi lain di dunia. Dalam pada itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing dan mengelakkan sikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Dalam menanam amalan berbudi bahasa dalam diri setiap individu. Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni perlulah diimplementasikan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan kesedaran rakyat. Kita mengharapkan agar menjelang tahun 2020, tabiat buruk seperti gengsterisme, dan bercakap kesat sudah lupus dari memori setiap rakyat Malaysia supaya negara akan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Post a Comment

7 Comments