Ad Code

Kebaikan pelajar menyertai kegiatan kokurikulum

Banyak faedah yang diperoleh jika seseorang pelajar itu melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Namun begitu banyak pelajar yang tidak berminat untuk melibatkan diri dalam kegiatan kokurikulum. Mereka menganggap menyertai kegiatan kokurikulum hanyalah membuang masa dan boleh dikatakan kebanyakan ibu bapa tidak rasa bersalah jika anak-anak mereka ponteng  aktiviti kokurikulum.

Persoalannya sedarkah mereka tentang faedah-faedah yang diperoleh daripada kegiatan kokurikulum? Para pelajar akan memanfaatkan  waktu senggang mereka  dengan berfaedah jika melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum. Dengan menyertai kegiatan kokurikulum, sikap berdisiplin juga dapat ditanam dalam diri pelajar- pelajar sekolah.

Kegiatan kokurikulum juga dapat mengeratkan hubungan antara pelajar dengan guru atau pelajar dengan pelajar. Hal ini semestinya juga akan dapat memupuk sikap bekerjasama dan toleransi dalam kalangan pelajar. Perpaduan kaum penting untuk membentuk sebuah Negara yang aman damai, supaya rusuhan kaum 13 Mei 1969 tidak berulang lagi. Lebih penting lagi, para pelajar dapat meluaskan ilmu pengetahuan melalui penglibatan mereka dalam aktiviti kokurikulum.

Menyertai aktiviti kokurikulum juga membolehkan para pelajar mengenali dan memahami budaya dan adat resam kaum-kaum lain di Malaysia.  Hal ini juga dapat mewujudkan rasa bangga dalam kalangan pelajar dengan budaya dan cara hidup masyarakat di negara ini.

Dengan menyertai aktiviti-aktiviti kokurikulum, seseorang pelajar dapat menyihatkan badan dan mencerdaskan otak serta dapat membina keyakinan diri dalam mengharungi kehidupan dan ini juga secara tidak langsung akan mengurangkan berlakunya gejala sosial yang melibatkan pelajar kerana masa lapang pelajar telah diisi dengan aktiviti yang berfaedah.


Sumber: Guru Selama-lamanya

Post a Comment

0 Comments