Ad Code

Contoh jawapan soalan percubaan Bahasa Melayu kertas 2 - Bahagian C: Surat kiriman

Balas surat sahabat pena yang ingin berkunjung ke negara anda untuk melawat suatu tempat pelancongan yang menarik.

                                                                      545, Jalan Bunga 1,
                                                                      Taman Bunga Raya,
                                                                      30020 Ipoh,
                                                                      Perak Darul Ridzuan.

                                                                      30 September 2009

      Menemui sahabatku David, yang kini sedang berada bersama keluarga di Perth, Australia, semoga dalam kandungan sihat sejahtera hendaknya.

Saudara David,

      Apa khabar saudara sekeluarga di sana? Maafkan saya kerana agak lambat membalas surat saudara. Saya kini sibuk dengan persediaan menghadapi peperiksaan yang tidak beberapa lama lagi. Tampaknya saudara benar-benar berminat untuk mengetahui tentang tempat-tempat yang menarik di- Malaysia. Kalau sebelum ini saya pernah bercerita tentang Tanah Tinggi Cameron, kali ini saya ingin bercerita tentang Pulau Langkawi pula.

      Pulau Langkawi terletak di Negeri Kedah, iaitu sebuah negeri yang terletak di utara Semenanjung Malaysia. Pulau ini banyak keistimewaannya. Antaranya termasuklah pemandangan yang cantik. Hal ini demikian kerana Pulau Langkawi di keliling oleh pantai yang berpasir bersih, air laut yang tenang, dan suasana yang nyaman. Kalau saudara berpeluang ke pulau Langkawi dapatlah saudara menikmati keindahan yang saya maksudkan ini.

      Untuk pengetahuan saudara, Pulau Langkawi terkenal sebagai Pulau Legenda. Legenda Mahsuri telah diceritakan secara turun-temurun daripada nenek moyang kami di sini. Secara ringkasnya, Mahsuri ialah seorang perempuan yang cantik. Malangnya , beliau telah dijatuhi hukuman bunuh akibat fitnah. Ketika hukuman dijalankan, darah putih mengalir daripada tubuh Mahsuri. Beliau juga sempat mengenakan sumpahan iaitu Langkawi akan menjadi padang jarak padang terkukur selama tujuh keturunannya.

      Selain itu terdapat banyak tempat yang berkaitan dengan Legenda Mahsuri ini, iaitu Makam Mahsuri, dan padang Mat Sirat. Lebih banyak maklumat yang dapat saudara peroleh mengenai legenda ini sekiranya saudara berkesempatan ke tempat-tempat ini. Selain itu, terdapat juga beberapa tempat yang berkaitan dengan legenda dan mitos di sini seperti Tasik Dayang Bunting di Pulau Dayang Bunting, Telaga Tujuh dan Beras Hangus.

      Sebenarnya banyak tempat menarik di Pulau Langkawi ini. Kalau ada kesempatan, akan saya ceritakan lagi tentang pulau ini. Saya juga akan cuba menghantar gambar-gambar yang berkaitan dengan Pulau Legenda ini.

      Setakat ini dulu yang dapat saya tulis buat saudara, Akhir kata , sambutlah salam mesra daripada saya

                                                                                      Yang benar,
                                                                                           Ali

Sumber: cikgusidik.blogspot.com

Post a Comment

1 Comments