Ad Code

Contoh Jawapan Ringkasan Kertas 2 PMR 2009

Bahagian A(i) - Ringkasan
[20 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang tujuan pemberian kerja rumah. Panjangnya ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan supaya menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.
Kerja rumah ialah tugasan yang perlu disiapkan di luar jadual waktu tetapi tidak semestinya dibuat di rumah. Kerja rumah mempunyai unsur pembelajaran kendiri. Oleh itu, kerja rumah diberikan supaya unsur ini dapat dipupuk dalam kalangan diri murid. Kerja rumah juga menjadi aktiviti pengukuhan bagi pembelajaran di dalam kelas. Justeru, kerja rumah perlu disiapkan oleh murid secara individu atau kumpulan. Namun, perkara ini telah menimbulkan rungutan kerana kerja rumah dikatakan telah 'merompak' masa anak-anak untuk berkembang dari segi jasmani.
Selain itu, kerja rumah dikatakan menyusahkan ibu bapa kerana mereka terpaksa menghabiskan banyak masa untuk membimbing anak-anak membuat kerja rumah. Namun, perlu diingat bahawa kerja rumah sememangnya diberikan bagi membuka peluang kepada ibu bapa mahupun ahli keluarga yang lain bersama dengan anak-anak semasa mereka belajar. Kerja rumah juga dapat memberikan gambaran kepada ibu bapa tentang perkara-perkara yang dipelajari oleh anak-anak mereka di sekolah.
Menurut kajian, antara rahsia kejayaan seseorang murid adalah apabila sentiasa ada tugasan yang dilakukannya tentang sesuatu yang dipelajari di sekolah. Dengan itu, kerja rumah merupakan satu daripada usaha yang boleh menyebabkan murid berjaya kerana mereka sentiasa belajar dan membuat latihan. Di samping itu, guru memberikan latihan tambahan sebagai kerja rumah supaya tumpuan dapat diberikan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan multimedia seperti televisyen, komputer, Internet dan sumber-sumber maklumat lain seperti buku, majalah dan akhbar pula menjadi sumber sokongan yang penting bagi murid membuat kerja rumah. Oleh itu, kerja rumah yang diberikan, diharapkan dapat membantu murid meneroka perkara-perkara baharu daripada sumber-sumber maklumat yang tidak diperoleh di bilik darjah.      
Pemberian kerja rumah dibuat dengan mengambil kira faktor masa senggang murid. Kerja rumah diberikan agar mereka dapat mengisi masa senggang mereka dengan aktiviti yang berfaedah yang menjurus ke arah kecemerlangan mereka dalam bidang pelajaram       
Oleh hal yang demikian, walaupun terdapat pelbagai pandangan tentang kerja rumah, namun hakikatnya kerja rumah banyak memberi kesan positif kepada murid-murid.
 (Dipetik dan diubah suai daripada
'Pengurusan kerja Rumah yang Elektif’

oleh Dr. Hj. Mohammed Sani bin Hj. Ibrahim,

Pendidik, Bil 14,2005)


Contoh Jawapan 1.

Pemberian kerja rumah bermotif untuk memupuk unsur pembelajaran kendiri dalam sanubari murid. Kerja rumah turut berperanan sebagai aktiviti pengukuhan bagi pembelajaran di dalam kelas. Tambahan pula, kerja rumah memberi peluang keemasan kepada ahli-ahli keluarga untuk bersama dengan anak-anak semasa mereka belajar. Malahan, kerja rumah merupakan platform kejayaan murid-murid dalam pelajaran kerana banyak latihan yang dilakukan. Lebih-lebih lagi, kerja rumah diberikan bertujuan untuk mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah yang mampu mendorong mereka berjaya dalam pelajaran.
( 75 patah perkataan )

 
Contoh Jawapan 2.

Tujuan pemberian kerja rumah adalah untuk mengukuhkan pembelajaran murid di dalam kelas. Kerja rumah turut member gambaran kepada ibu bapa tentang perkara yang dipelajari oleh anak mereka di sekolah. Seterusnya, kerja rumah merupakan satu inisiatif yang boleh menyebabkan murid berjaya. Guru memberikan kerja rumah supaya tumpuan dapat diberikan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Kerja rumah juga dapat membantu murid meneroka perkara-perkara baharu daripada sumber-sumber maklumat yang tidak diperoleh di bilik darjah.
( 71 patah perkataan )


Post a Comment

0 Comments