Ad Code

Galak pendidikan jasmani

KUALA LUMPUR: Hasrat Kementerian Pelajaran untuk merealisasikan polisi satu murid satu sukan terus dimantapkan melalui program International Inspiration untuk menggalakkan kegiatan Pendidikan Jasmani (PE) dan pendidikan sukan di kalangan generasi muda.

Program berkenaan membabitkan 10 sekolah menengah perintis di Sabah dan Perak yang dipilih Kementerian Pelajaran untuk bekerjasama dengan 10 sekolah dari United Kingdom (UK), England berkongsi pengetahuan dan kaedah dalam kegiatan sukan dan PE di sekolah.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, program itu menambah dimensi baru dalam sukan di sekolah dan PE yang diperkayakan dengan kaedah inovatif baru bagi membolehkan pelajar menyertainya secara lebih aktif.

“Kementerian amat mengalu-alukan usaha ini kerana dalam dunia yang kompetitif dan mencabar, ia satu tanggungjawab untuk membangunkan modal insan cemerlang sejak usia muda,” katanya ketika berucap sempena kejayaan program International Inspiration di sini, semalam.

Dalam majlis itu, atlet British dan pemenang Paralimpik, Marc Woods turut menyampaikan syarahan kepada 180 pelajar dan guru bagi meraikan kejayaan program berkenaan.

Malaysia antara 15 negara yang terbabit dalam program dihoskan Lembaga Olimpik Malaysia itu melalui kerjasama antara UK Sport, Unicef, British Council dan Jawatankuasa Penganjur London untuk Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.

Dilancarkan di Malaysia pada Mei tahun lalu, program berkenaan dimulakan dengan lawatan 21 ketua guru dan guru PE dari UK ke sekolah yang terpilih di Sabah dan Ipoh, Perak diikuti 20 ketua guru dan guru PE daripada kedua-dua sekolah dari negeri itu ke UK dan hasil kerjasama itu dapat menambahbaik kegiatan sukan antara kedua-dua pihak.

Selain itu, satu komponen dalam program iaitu Pemimpin Sukan Muda (YSL) turut melatih 40 pelajar dari 10 sekolah terbabit yang juga perintis program untuk menjadi pemimpin dalam penganjuran pelbagai karnival sukan di sekolah rendah berhampiran.

Dalam masa sama, setiap sekolah akan terus melatih lebih ramai pelajar dalam program YSL dan mengembangkannya ke seluruh negara.

Peserta program YSL, Ahmad Aiman Asmayatim, 15, dari Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak berkata, program berkenaan memberi banyak manfaat kepada pelajar serta memantapkan pengetahuan pelajar mengenai PE dan pendidikan sukan di sekolah.

Post a Comment

0 Comments