Ad Code

Menguruskan alam sekitar menerusi pembacaan

Oleh KHAIRUSY SYAKIRIN HAS-YUN HASHIM

TENTUNYA jijik apabila melihat sampah sarap bertaburan di atas jalan. Meloyakan apabila melihat pelbagai jenis sampah yang berupa pelbagai jenis mula membusuk dan berair. Siapa yang tidak rimas dan tidak selesa dengan keadaan-keadaan begini.

Menyakitkan mata apabila melihat ia bertaburan di merata tempat, terutamanya di tempat-tempat awam yang sentiasa dikunjungi. Namun, tentunya sampah-sampah itu terhasil daripada beberapa punca.
Dan tentunya punca utamanya ialah manusia itu sendiri.

Manusia, seperti yang disebutkan di dalam al-Quran, adalah sebaik-baik makhluk yang dicipta-Nya untuk mentadbir dan menjadi khalifah di muka dunia ini. Walaupun ada makhluk-makhluk lain yang lebih besar dan gagah yang telah ditawarkan oleh Allah untuk menjadi khalifah di muka bumi ini, manusia menerimanya.
Maka, apa keistimewaan kita sebagai makhluk yang terpilih untuk memerintah dan mengurus alam? Yang padahal, juga disebut di dalam al-Quran, manusialah juga yang akan memusnahkan alam ini.

Untuk mengurus, seseorang pengurus perlulah berilmu. Namun ilmu tanpa amal tidak akan ke mana. Ilmu perlu diiringi dengan amal. Amal tanpa menulis pula tidak akan mampu mewujudkan satu gelombang ilmu baru. Maka lingkaran ilmu ini perlu untuk memastikan pengurusan sesuatu perkara itu cekap.

Sumber

Ilmu boleh didapati daripada pelbagai sumber. Dan antara sumber tentunya dari buku dan bahan bacaan. Tentunya terdapat banyak buku atau bahan bacaan yang berkaitan dengan pengurusan alam sekitar. Apabila isu ini hebat diperkatakan sejak Persidangan Bumi (Earth Summit) yang berlangsung di Rio de Janiero pada tahun 1992, telah memberi kesedaran kepada hampir 100 buah negara untuk bersama-sama menilai semula kaedah mereka menjaga alam sekitar dan seterusnya melaksanakan pembangunan mapan (sustainable development) di negara masing-masing.

Persidangan ini amat penting pada ketika bumi sedang menghadapi banyak masalah berkaitan dengan persekitaran. Kepada para pencinta alam, persidangan ini banyak membantu kebanyakan negara untuk menghadapi masalah-masalah kini dan masa hadapan.

Apabila sesuatu isu itu hebat dibincang dan diperdebatkan, hasil-hasilnya akan ditulis dan dibukukan, sama ada dalam bentuk buku, majalah, risalah malah menerusi teknologi Internet. Masyarakat yang membaca tentunya akan lebih peka terhadap alam sekitar.

Antara majalah-majalah elektronik yang terdapat di seluruh dunia yang boleh diakses dan dimuat turun secara percuma adalah SEPA View terbitan Scottish Environmental Protection Agency.

Begitu juga dengan buku Era Hijau terbitan Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Impak terbitan Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Our Planet terbitan United Nations Environment Programme (UNEP), Friends of the Earth News Magazine terbitan Friends of the Earth, Environmental Health in Germany: Everyday Examples terbitan Federal Office for Radiation Protection Germany dan puluhan lagi.

SEPA View misalnya merupakan antara majalah elektronik percuma yang bermaklumat dan mempunyai reka letak yang cantik. Ia mudah dilayari dan mesra pengguna.

Malah laman web SEPA sentiasa dikemas kini. Semua statistik dan laporan terkini mudah dimuat turun, malah secara percuma, memudahkan para penyelidik melayarinya. Bagi penulis sendiri yang pernah menyelidiki pengurusan sampah di Edinburgh, Scotland, tidak perlu ke pejabat SEPA sebaliknya hanya perlu memuat turun ke komputer riba penulis. SEPA View pula melengkapkan maklumat-maklumat itu.

Impak, terbitan Jabatan Alam Sekitar Malaysia juga antara majalah elektronik tempatan yang berinformasi. Ia boleh dilayari dan dimuat turun secara percuma daripada laman web Jabatan Alam Sekitar Malaysia.

Selain daripada Impak, Jabatan Alam Sekitar Malaysia juga menerbitkan Era Hijau, yang difokuskan kepada para pelajar sekolah. Ia tentunya dapat mendekatkan lagi generasi muda dengan pengurusan alam sekitar.
Tentunya untuk mewujudkan satu gelombang kesedaran pengurusan alam sekitar yang cekap, masyarakat perlu dididik sama ada secara formal seperti di universiti-universiti dan juga secara tidak formal seperti menerusi media dan buku.

Malaysia seharusnya memperbanyakkan lagi kandungan Internetnya jika ingin melihat masyarakat terdidik dengan lebih meluas.

* PENULIS ialah Setiausaha Agung, Komuniti Bukuonline.org dan Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Post a Comment

0 Comments