Ad Code

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK 1432H


Insyaallah Ramadhan pada tahun ini akan kita sambut pada hari Isnin 1 Ogos 2011. Tapi yang sudah pastinya ia akan disambut pada 1 Ramadhan. Saya dan juga keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan kepada semua keluarga, rakan, handai dan taulan dan sesiapa sahaja yang membaca artikel ini. Cikgu ingin memaklumkan bahawa persekolahan adalah berjalan seperti biasa. Hanya waktu mungkin ada sedikit perubahan untuk membolehkan pelajar sesi petang serta guru-guru sesi petang pulang lebih awal. Diharap pelajar dapat menyemak jadual waktu terkini. Cikgu juga ingin mengambil kesempatan untuk menyeru kepada semua supaya memelihara ibadat puasa  supaya kita akan mendapat rahmat, pengampunan serta kebebasan dari api neraka, Insyaallah. Jadi awasilah pergaulan serta makan minum ketika berbuka serta bersahur. Pastikan kita hanya mengambil yang Halal serta Thoyyibah kerana makanan yang haram serta syubhah boleh menjejaskan puasa kita.

Pada bulan ini Allah memfardhukan puasa atas kaum Muslimin, dan dicatit sebagai kewajiban yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah Ta’ala:
يَا أَيُّهَا الَّذِيْنَآمَنُوْا كُتِبَعَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَاكُتِبَ عَلَى الَّذِيْنَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُوْنَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah: al-Baqarah : 183)
Pada bulan Ramadhan pula Allah Ta’ala menurunkan kitab suciNya (al-Qur’an), dan dipilih di antara malam-malamnya suatu malam yang disebut Lailatul Qadr, dimana ia lebih utama dari seribu bulan, atau lebih dari 83 tahun. Maka renungkanlah kadar ini, dan sematkan di dalam fikiran anda, malam apakah itu yang dipandang oleh Allah Ta’ala lebih baik dan lebih utama dari masa yang begitu panjang sekali. Firman Allah Ta’ala:
شَهْرُرَمَضَانَالَّذِىْأُنْزِلَ فِيْهِالْقُرْآنُهُدًىلِلنَّاسِوَبَيِّنَاتٍمِنَ الْهُدَىوَالْفُرْقَانِ

“(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil).” (Surah. al-Baqarah : 185)
Dari firman Allah Ta’ala ini kita tahu bahwa al-Qur’an itu telah diturunkan pada bulan Ramadhan, kemudian ia diturunkan sekali lagi pada malam Lailatul Qadar sebagai tanda keistimewaannya. Al-Qur’an diturunkan dari Lauh Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah di langit dunia. Ia diturunkan sekaligus dari Lauh Mahfuzh ke Baitul ‘Izzah, sesudah itu diturunkan pula oleh Jibril kepada Rasulullah dengan perintah Allah Ta’ala satu persatu dalam jangkamasa 23 tahun.

Kelebihan Bulan Ramadhan
Mengenai kelebihan bulan Ramadhan, Rasulullah bersabda:
رمضان إلى رمضان، والجمعة إلى الجمعة، والصلاة إلى الصلاة، مكفرات لما بينهن إذا اجتنبت الكبائر - حديث صحيح. رواه مسلم،وأحمد، والبيهقي عن أبي هريرة رضي الله عنه

“Bulan Ramadhan satu ke bulan ke bulan Ramadhan berikutnya, Jum’at satu ke Jum’at berikutnya, dan satu shalat ke shalat berikutnya menjadi penebus dosa di antara keduanya, selama dijauhi segala dosa besar.” (Hadits riwayat: Imam Ahmad, Muslim dan al-Baihaqi)

Fadhilat dan Kelebihan Berpuasa Ramadhan
  • Pintu langit dibuka.
  • Pintu-pintu syurga dibuka.
  • Bulan yang penuh keberkatan.
  • Salah satu malamnya adalah lebih baik dari seribu bulan.
  • Ganjaran amalan sunat sama dengan solat fardhu.
  • Solat fardhu mendapat ganjaran 70 kali ganda.
  • Bulan kesabaran dan pahalanya adalah syurga.
  • Bulan menambah rezeki.
  • Bulan keampunan - doa yang paling makbul iaitu doa ketika sebelum berbuka puasa dan doa pada sepertiga malam.
  • 10 hari pertama adalah mulanya rahmat, 10 hari pertengahan adalah pengampunan dan 10 hari terakhir adalah kemerdekaan dari api neraka.
*  Umar ibnul Khathab r.a. berkata, "Orang yang berdzikir kepada Allah pada bulan Ramadhan akan diampuni dosa-dosanya; dan yang memohon kepada Allah pada bulan Ramadhan tidak akan kecewa.

* Puasa mengatur keseragaman ummat. Selama Ramadhan, umat berseragam dalam sahur dan berbuka, dalam bekerja dan beristirahat, serta dalam shalat, istighfar, dan bertobat kepada Allah. Lidahpun seragam dalam bertakbir, bertasbih, dan bertahmid sehingga tercegah dari kata-kata buruk dan menyakiti orang lain, menjauhi perbuatan keji dan munkar, mengisi hati dengan cinta kasih kepada sesama hamba Allah, selalu baik dan bersih lahir bathin, serta sabar meng- hadapi segala macam kesulitan hidup. (ulama)

*  Imam Al Ghazali berkata, "Betapa banyak orang berpuasa yang sebenarnya berbuka, dan yang berbuka padahal berpuasa. Yang berbuka tetapi sebenarnya berpuasa adalah yang makan dan minum, tetapi menjaga seluruh anggota tubuhnya dari perbuatan dosa. Dan yang berpuasa tetapi sebenarnya berbuka adalah yang lapar dan haus, tetapi tercemar anggota tubuhnya (dalam perbuatan dosa).

Adab-adab Berpuasa

Setiap orang yang berpuasa mempunyai adab, tidaklah sempurna puasa itu tanpa adab. Di antara adabnya yang terpenting adalah:
  1. Memelihara lidah daripada berdusta, mencaci, mencampuri urusan orang lain mengekang mata dan telinga dari melihat atau mendengar sesuatu yang tidak halal, yang tiada sangkut paut dengan dirinya.
  2. Selanjutnya hendaklah ia menahan perut dari makanan yang haram atau syubhat, terutama sekali ketika waktu berbuka puasa. Ia wajib berusaha mencari yang halal untuk berbuka puasa. Sebahagian kaum salaf berkata: Jika anda berpuasa, perhatikanlah makanan yang anda makan untuk berbuka dan dimana anda berbuka. Hal ini merupakan anjuran kepada kita supaya berhati-hati dan mengambil berat terhadap makanan yang kita makan untuk berbuka. Meninggalkan maksiat hukumnya wajib untuk selama-lamanya bagi orang yang berpuasa dan tidak berpuasa. Hanya saja terhadap orang yang berpuasa lebih wajib memelihara diri, kerana ianya sangat dituntut dan dikuatkan.
  3. Tidak terlalu banyak tidur di waktu siang dan tidak terlalu banyak makan di waktu malam.
  4. Hendaklah pada bulan Ramadhan tidak terlalu banyak melibatkan diri dalam urusan dunia, tetapi hendaklah ia menumpukan dirinya untuk beribadat kepada Allah sebanyak-banyaknya dan berzikir semampunya.
  5. Diantara yang sunat bagi orang yang berpuasa ialah menyegerakan berbuka puasa. Yang paling baik adalah dimulai dengan buah kurma. Jika tidak ada maka dengan air tawar. Nabi صلى الله عليه وسلم berbuka dahulu sebelum menunaikan shalat Maghrib. Baginda bersabda:
لا تزال أمتي بخير ما عجلوا الفطر وأخروا السحور - متفق عليه

“Umatku tetap akan berada dalam kebaikan, selama mereka menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan makan sahur.” (Hadits riwayat: Bukhari dan Muslim)

Dari hadits [diatas] maka jelas bahawa mengakhirkan makan sahur untuk orang berpuasa merupakan amalan yang sunat.
  1. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.
  2. Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t. 
  3. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
  4. Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim); 
  5. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah) 
  6. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Post a Comment

0 Comments